PENYANYI Dayang Nurfaizah teruja apabila lagu Separuh Mati Ku Bercinta terpilih ke Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) kerana ia gandingan keduanya dengan komposer Ajai sejak 15 tahun menerusi pertandingan berprestij itu. Dayang berkata ia sekali gus mengembalikan memori kemenangannya bersama Ajai menerusi kategori Lagu Terbaik (Balada) lagu Seandainya Masih Ada Cinta pada 2001. "Memang teruja sangat dapat ke AJL32 kerana ini kali pertama dalam masa 15 tahun saya ke pentas berprestij itu menerusi lagu ciptaan Ajai. "Soal menang atau pun tidak itu terpulang kepada juri tetapi yang lebih penting adalah memori yang dapat saya cipta bersama Ajai di pentas berprestij itu," katanya. Pelancaran kempen #StandTogether yang diadakan pada Isnin. Dayang ditemui pada majlis pelancaran kempen #StandTogether yang diadakan di Setia International Centre Kuala Lumpur pada Isnin. Kempen anti buli itu adalah anjuran bersama Star Media Group, R. AGE dan SP Setia Berhad dalam membanteras isu buli dalam kalangan pelajar sekolah. Selain Dayang, kempen yang disambut pada minggu pertama bulan April itu turut mendapat sokongan daripada selebriti seperti Lisa Surihani, personaliti Youtube, Jinnyboy, Jenn Chia, Arwind Kumar dan vokalis kumpulan Paperplane Persuit, John Oommen. Dalam pada itu, Dayang berkata, seperti tahun sebelum ini, fokusnya pada pertandingan itu tetap kepada persembahan vokal dan susunan lagu yang dibuat khas untuk AJL32. Dayang hadir pada pelancaran kempen #StandTogether. "Saya mahu lagu itu nanti istimewa dan disusun khas buat AJL32 dan bukannya seperti mana yang pernah saya persembahkan dalam acara lain sebelum ini. "Kerana menerusi AJL juga saya dapat peluang membuat persembahan bersama pemuzik orkestra yang memberi 'feel' berbeza selain ia disiarkan menerusi televisyen," katanya. Sementara itu, Dayang berkata dia sedar tanggungjawabnya menyampaikan lagu itu sangat besar kerana ramai mengharapkan dia pulang dengan kemenangan. Namun perkara itu diluar jangkaannya dan sebagai penyanyi tugasnya adalah memberikan yang terbaik pada pertandingan itu. "Saya harap apa dirancangkan semuanya berjalan lancar dan paling penting kesihatan berada dalam keadaan baik. Dayang Nurfaizah. "Jika tidak ia akan memberi kesan kepada persembahan pada hari itu nanti," katanya. Dalam perkembangan lain, Dayang menyifatkan usaha mengetengahkan kempen #StandTogether sebagai sesuatu yang baik kerana ia dapat memberi pelbagai informasi dalam menangani masalah buli. "Saya sendiri ada anak saudara yang baru sahaja berusia tujuh tahun yang kadang-kadang mengadu diganggu oleh rakan-rakan di sekolah. "Saya sendiri kadang-kadang tidak tahu bagaimana ingin memberi respons apabila dia mengadu tetapi dengan adanya kempen seperti ini Insya-Allah saya tahu apa jawapan patut diberikan kepadanya," katanya.