suria

“Masih Rahsia, Tunggu Saat Akhir” – Faye Kusairi

Faye belum bersedia dedah jantina bayi sulungnya. Foto: MOHD IZZAT.

PELAKON Faye Kusairi belum bersedia untuk mendedahkan jantina bayi pertamanya walaupun sudah membuat imbasan baru-baru ini.

Faye atau Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 29, berkata, dia mahu menunggu sehingga kandungannya sudah memasuki trimester terakhir.

"Kandungan saya sekarang sudah empat bulan. Saya pun sudah tahu jantina bayi saya. Tapi saya tak mahu umumkan lagi.

"Tunggu dekat nak bersalin dalam minggu ke 32 macam tu baru saya dedahkan pada semua.

"Bukan apa, nanti kalau saya umumkan sekarang dan tiba-tiba imbasan jantina itu salah, apa pula kata orang," kata Faye kepada mStar Online.

Dia ditemui sewaktu majlis pengumuman senarai 10 teratas Anugerah Telenovela 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Selasa.

Proses kehamilan Faye kini berjalan dengan lancar.

Menurut Faye, proses kehamilannya berjalan lancar dan dia kini sibuk menulis skrip bersama suaminya yang juga pengarah drama, Hatta Azmi.

Kata Faye, dia banyak belajar menulis skrip dari suaminya sejak melangsungkan perkahwinan pada April lalu.

"Saya sebenarnya ada banyak idea. Selepas kahwin, suami selalu ajar cara untuk menterjemahkan idea ke dalam bentuk penulisan skrip.

"Saya pun memang suka menulis. Bila belajar menulis skrip dengannya, hubungan kami secara tidak langsung menjadi lebih rapat," ujarnya lagi.

Tambah Faye, dia juga mempunyai beberapa perancangan melibatkan cabang baharu yang diterokainya itu.

Faye simpan hasrat menulis skrip mengenai kisah kehidupan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir dan isterinya.

Ujarnya, dia kini sedang merancang untuk menghasilkan skrip mengenai kisah Adik Beradik Sidek dan kisah cinta Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Siti Hasmah.

"Saya dulu pun pemain badminton, jadi saya mahu menulis cerita bagaimana kemenangan adik beradik Sidek di Piala Thomas berjaya menyatukan semua kaum di Malaysia pada waktu itu.

"Saya juga mahu menulis skrip mengenai kisah bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir dan isterinya. Tapi sekarang masih lagi dalam peringkat mencari idea," katanya.

Dalam pada itu, tiga drama lakonan Faye iaitu Tujuh Hari Mencintaiku, Imam Mudaku Romantik dan Pengantinku Jatuh Dari Langit tercalon dalam Anugerah Telenovela 2017.

Menerusi anugerah yang akan dilangsungkan pada 23 Disember ini, 38 drama adaptasi novel dicalonkan bagi merebut 23 kategori yang dipertandingkan.

Faye Kusairi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain