PENYANYI Liza Hanim mengalami peristiwa tidak boleh tidur kerana terlalu memikirkan strategi untuk kekal dalam Gegar Vaganza musim keempat ini. Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 37, berkata harapan peminat yang tinggi memberi tekanan pada dirinya. "Ia menjadi lebih sukar kerana apa yang orang nampak macam seronok tapi harapan orang semakin tinggi. "Bila orang dah terlalu berharap... tekanan mula datang. Minggu lepas, saya hanya dapat tidur pukul 5 pagi sebab banyak fikir apa perlu dilakukan seterusnya. "Tapi saya tak nak lagi terlalu memikirkan hal itu. Bagi saya, biarlah ia berjalan seperti biasa sahaja. Yang penting peluang saya masih ada lagi," kata Liza kepada mStar Online. Liza mahu lakukan yang terbaik demi penyokongnya. Menurut Liza, biarpun sudah lama berada dalam industri seni namun dia terima rezekinya lambat. Kata Liza, dia tidak mahu mempertikaikan perkara tersebut dan percaya kepada rezekinya selepas ini. "Memang tidak dinafikan rezeki itu memang ada. Tapi ketika itu rezeki terletak pada laluan orang lain. "Siapa kita nak pertikaikan itu ini. Saya tak nak jadi orang macam itu. Rezeki itu tetap rezeki. Mungkin pada kali ini rezeki saya," ujarnya. Dalam pada itu, Liza tidak sabar untuk beraksi di minggu keempat GV bersama rakan duet Hafiz Suip menerusi lagu Dirgahayu. Namun, dia masih belum ada perancangan untuk persembahan kerana lebih utamakan mencari keserasian antara mereka. "Saya tak sabar untuk konsert akan datang ini tapi tak tahu lagi macam mana persembahan yang akan dilakukan. "Yang penting sekarang ini saya perlu mencari keserasian dengan Hafiz untuk bawa lagu tersebut," katanya.