suria

“Tunggu Lagi Seminggu” – Asfan Shah

Isteri Asfan, Ain selamat melahirkan bayi lelaki pada pagi Jumaat. Foto Instagram: @asfanshah.

PENYANYI Asfan Shah masih belum mempunyai nama untuk bayi lelaki ketiganya yang baru lahir pada Jumaat.

Asfan atau nama sebenarnya Norasfan Shah Shah Rudin, 32, berkata dia akan berkongsi nama bayinya selepas seminggu.

"Saya dan isteri belum ada nama yang sesuai untuk bayi lelaki ketiga kami yang baru lahir pagi tadi.

"Insya-Allah, saya akan kongsi nama bayi kami dengan rakan-rakan selepas seminggu," kata Asfan ketika dihubungi mStar Online.


Asfan gementar di saat kelahiran bayi lelaki ketiganya.

Asfan berkongsi berita gembira itu menerusi laman Instagramnya dan menerima ucapan tahniah daripada peminat.

Isteri Asfan, Ain Sakinah Razali, 30, selamat melahirkan bayi lelaki pada Jumaat tepat pukul 2.22 pagi di Tropicana Medical Central, Petaling Jaya.

Menurut penyanyi lagu Sumpah Cintaku ini isterinya bersalin secara normal dan bayi seberat 3.31 kilogram itu dalam keadaan baik.

Isterinya berpantang di kediaman mereka di Damansara bawah jagaan ibu mentuanya dan pembantu.

Menurut Asfan, anak sulung dia Haytham teruja menyambut kelahiran adiknya.

"Alhamdulillah, isteri bersalin secara normal dan bayi kami lahir dengan berat 3.31 kilogram.

"Mereka berdua dalam keadaan baik dan insya-Allah esok baru pulang. Dia akan menjalani proses berpantang di rumah kami, Damansara.

"Saya minta tolong ibu mertua dan ambil bidan serta pembantu rumah untuk membantu isteri sepanjang proses tersebut," ujarnya.

Pasangan ini yang berkahwin pada 2012 dan mempunyai dua anak lelaki, Ali Haytham Shah, 4, dan Ali Wakeel Shah, 2.

Asfan Shah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain