suria

“Nak Cakap Apa Pun, Cakaplah” – Hanis Zalikha

Anak pasangan pelakon, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen turut menerima kecaman netizen di laman sosial. Foto: THE STAR/ NORAFIFI EHSAN

PELAKON Hanis Zalikha menyedari apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang selebriti pasti mendapat perhatian masyarakat termasuklah soal penjagaan anak.

Hanis, 27, bagaimanapun tidak ambil pusing dengan kritikan netizen mengenai cara dia membesarkan anaknya, Yusuf Iskandar yang kini berusia setahun.

"Saya sudah terbiasa dengan komen-komen netizen yang sentiasa tidak kena di mata mereka dan ada sahaja topik yang ingin diperkatakan.

Hanis tidak peduli kecaman dan kritikan yang dilemparkan netizen.

"Nak cakap apa pun, cakaplah. Kami tak pernah kecil hati dengan komen orang luar dan kami tahu apa yang terbaik untuk Yusuf.

"Bukan saya sahaja yang menerima kritikan, malah anak artis lain turut menerima nasib yang sama. Ada saja yang mereka nak kritik!," katanya kepada mStar Online.

Dia ditemui di Majlis Baby Shower Mega Bersama Happikiddo cawangan premis berkenaan di Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hanis Zalikha berkahwin dengan pelakon Hairul Azreen pada 5 Jun 2015 di Bukit Jelutong, Selangor dan menimang cahaya mata pada 3 Jun 2016.

Hanis dan suami, Hairul Azreen dikurniakan seorang cahaya mata bernama Yusuf Iskandar yang memiliki hampir 2 juta pengikut di Instagram.

Dalam pada itu, Hanis mengakui dia gemar berkongsi teknik penjagaan bayi melalui laman sosial Instagram.

Pelakon Gangster Celop ini berkata, ilmu tersebut mungkin boleh digunapakai oleh ibu muda dan akan menjadi tempat rujukan untuknya pada masa akan datang.

"Selain berkongsi ilmu dengan orang lain, mungkin satu hari nanti bila saya dah ada anak kedua, saya boleh baca semula apa yang saya kongsi di laman sosial.

"Nanti kalau dah terlupa cara penjagaan bayi, boleh cari di Instagram sendiri," ujarnya.

Menyebut mengenai kerjaya seni, Hanis memberitahu dia belum bersedia untuk menerima tawaran lakonan kerana mahu memberi fokus kepada Yusuf yang masih belum boleh berenggang dengannya.

Bagaimanapun, Hanis tidak menolak untuk kembali aktif dalam industri seni apabila keadaan sudah mengizinkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Berkat Jadi Deejay Pasar Raya

Artikel Lain