PENYANYI yang popular dengan lagu ‘Seribu Tahun’ iaitu Imran Ajmain menolak permintaan pihak tertentu yang meminta dia mengikut strategi dilakukan penyanyi baharu kelahiran YouTube. Imran berkata, pendirian sebagai seorang artis lama tercabar berikutan permintaan pihak berkenaan yang mahu dia memulakan semula strategi promosi lagu baharu nyanyiannya dari bawah. "Ada pihak yang tidak percaya dan mahu saya buat cover lagu orang lain di YouTube bagi menarik pengikut seperti mana yang dilakukan artis-artis baharu sekarang. "Saya bukan generasi itu dan ia mencabar pendirian saya sebagai penyanyi lama. Saya percaya kepada bakat dan kekuatan sesebuah lagu itu mampu pergi jauh dengan sendiri," ujarnya kepada mStar Online. Imran Ajmain kini berkolaborasi dengan Najwa Mahiaddin. Imran ditemui pada majlis pelancaran lagu duet bersama penyanyi Najwa Mahiaddin berjudul Sentiasa Merinding di SukaSucre Event Hall, pada Khamis. Jelasnya, dia berasa terkilan apabila diminta menyanyikan lagu penyanyi lain semata-mata mahu mempromosi lagu baharunya. "Walaupun saya menyepi lama tapi pengemar muzik saya masih ada. Saya tidak akan mula semula dengan menyanyi lagu-lagu lain," ujarnya. Tambah Imran, dia selesa menggunakan strategi tersendiri iaitu memperdengarkan nyanyian secara langsung dan jelajah dari negeri ke negeri atau di setiap universiti. Dalam pada itu bercakap tentang judul lagu Sentiasa Merinding, Imran berkata, ia merupakan kolaborasi pertama dengan Najwa selepas 11 tahun berkawan. Lagu ciptaan Imran, Najwa dan Avex ini boleh didengari di platform dalam talian mulai Sabtu. "Rancangan untuk bekerjasama sudah lama namun sekarang akhirnya berjaya dilaksanakan. "Proses penghasilan lagu ini tidak panjang berbanding penantian kami. Ia hanya mengambil masa dua minggu," ujarnya.