PELAKON dan pengacara Didie Alias mengalirkan air mata apabila dikejutkan dengan berita akan bakal bergelar nenek apabila anak sulungnya, Nur Dhaniyah Mohd Ridzuan kini sedang hamil lima bulan. Didie, 43, berkata, dia menangis kerana terlalu teruja dengan berita itu kerana pada awalnya dia tidak memahami dengan klu diberikan oleh anak perempuannya itu. "Pada hari dia memberitahu berita itu saya dalam keadaan letih dan dia memberikan saya botol susu sebagai isyarat untuk memaklumakan dia sedang hamil. "Awalnya memang saya tidak faham dengan maksud botol itu tetapi selepas beberapa ketika barulah saya dapat tangkap maksudnya dan terus menangis. "Memang teruja sangat hendak dapat cucu pertama dan pada masa sama tidak menyangka anak saya sedang hamil," katanya. Didie bersama anak perempuanya, Dhaniyah yang kini sedang hamil lima bulan. Foto Instagram @teddyfilm.co Didie ditemui pada sidang media Grand Finale Lefestour 10.0 Melaka 2017 yang diadakan pada Rabu. Festival beli-belah itu bakal diadakan selama tiga hari pada 8 hingga 10 Disember depan bertempat di Melaka International Trade Centre (MTIC) Melaka. Dalam pada itu, Didie atau Fadzilah Mohd Ali berkata, dia bersyukur diberi kesempatan pada usia 40-an untuk merasai pengalaman bergelar nenek. "Dhaniyah akan bersalin sekitar Mac tahun hadapan dan bagi saya ia sangat menggembirakan kerana pada usia sekarang, Alhamdulillah masih sihat dapat melihat dan bermanja dengan cucu, Insya-Allah," katanya. Bercakap mengenai Lefestour, Didie memberitahu ia adalah acara penutup bagi 2017 selepas menjelajah ke 10 buah negeri di seluruh Malaysia sepanjang tahun ini. Didie bersama penganjur dan mereka yang bakal terlibat dalam Grand Finale Lefestour 10.0 Melaka 2017. Menariknya kata Didie, selain menampilkan lebih 200 usahawan dalam talian yang menawarkan pelbagai barangan, pihaknya turut menjemput seramai 30 selebriti bagi memeriahkan acara. "Lain mengenai Lefestour yang terakhir ini, kami akan anjurkan sebuah pertunjukan fesyen dalam dewan yang terpanjang menerusi koleksi pereka fesyen Azhar Zainal. "Kami juga akan menampilkan barisan model terkenal di pentas peragaan nanti seperti Nasha Aziz, Amber Chia, Tini dan penampilan istimewa Datuk Rosyam Nor," katanya. Tambah Didie, pakaian yang diperagakan nanti turut akan dilelong kepada pelanggan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada badan kebajikan. Sementara itu, Didie berkata, pihaknya juga merancang untuk memberi penghargaan kepada selebriti kelahiran negeri Melaka pada acara itu sebagai menghargai sumbangan mereka kepada industri hiburan tempatan. Didie menjanjikan Lefestour sebuah festival yang menarik dan padat dengan aktiviti. Malah kata Didie, perkara itu turut mendapat sokongan daripada kerajaan negeri Melaka dalam usaha meraikan mereka pada acara itu nanti. "Saya sendiri anak jati Melaka dan masih ramai artis-artis seperti Abon, Remy Ishak, Zur Eda, Ziana Zain dan ramai lagi dari Melaka yang ingin kita raikan. "Selain aktiviti beli-belah, kita juga adakan pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah tahunan bernilai hampir RM200,000, Lefestour karaoke dan mini konsert," jelasnya. Antara selebriti yang dijangka terlibat dalam Grand Finale Lefestour 10.0 Melaka 2017 adalah Jue Aziz, Amyza Aznan, Zul Huzaimy, Mawi, Rashid Sibir, Angah Raja Lawak dan ramai lagi.