PENYANYI Ella Aminuddin berkata, konsert dia bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang akan dilakukan buat pertama kali merupakan cabaran paling besar sepanjang kariernya. Ella atau nama sebenarnya Nur Zila Aminuddin, 51, berkata keseluruhan konsert tersebut disusun berbeza dengan konsert yang pernah diadakan. "Saya rasa konsert kali ini adalah cabaran yang terbesar sepanjang karier saya dalam industri muzik. "Tapi saya terima juga cabaran ini. Boleh dikatakan keseluruhannya berlainan dengan sebelum ini. Saya bersama 90 orang yang akan bermain muzik di atas pentas besar,” kata Ella kepada mStar Online. Ella pertama kali adakan persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO). Ella ditemui ketika sidang media konsert Ella Live With MPO di Traders Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu. Menurut ratu rock Malaysia ini, pemilihan lagu untuk konsert tersebut mengambil masa hampir setengah tahun. "Lagu-lagu untuk konsert akan datang ini dipilih dengan baik. Selama hampir setengah tahun juga la baru dapat pilih lagu yang bersesuaian. "Daripada lebih 40 buah lagu dan akhirnya tinggal 16 yang akan dipersembahkan pada malam itu nanti," ujarnya. Persembahan Ella bakal diiringi seramai 90 pemuzik. Konsert berdurasi selama dua jam ini akan dianggotai seramai 90 pemuzik yang akan dipimpin okeh Ahmad Muriz Che Rose. Antara lagu yang akan dipersembahkan seperti Pengemis Cinta, Pedih, Nuri, Rindu, Layar Impian, Bayangan, Kesal, Dua Insan Bercinta, Sembilu, Gemilang, Demi dan lagu terbaru Ku Sedia. Konsert tersebut akan diadakan pada 2 dan 3 Disember depan, pukul 8.30 malam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Tiket sudah dijual dengan harga RM380, RM270, RM210 dan RM150.