PELAKON Arja Lee mempersoalkan tindakan stesen televisyen swasta yang menolak cadangan namanya daripada menjayakan program TV dan drama terbitan mereka. Menurut Arja atau nama sebenar Azharudin Ramli, dia benar-benar kecewa apabila mengetahui namanya ditolak oleh stesen televisyen berkenaan. "Saya sangat kecewa, sedih dan terasa hati apabila nama saya sering digugurkan untuk menjayakan program dan drama televisyen swasta. Arja memendam rasa hampir tiga tahun mengenai isu ini dan mahu jawapan pihak berkenaan. "Tiga tahun saya memendam rasa, sekarang ini saya cuma nak tahu kenapa ia berlaku dan apa yang menyebabkan hal ini terjadi. "Adakah stesen TV sekarang semakin kotor dan bersikap pilih kasih?," katanya ketika dihubungi mStar Online. Terdahulu, Arja menerusi laman Instagramnya meluahkan rasa kecewa dengan sikap stesen televisyen yang menolak cadangan namanya untuk sesebuah projek. Dalam pada itu, Arja berasakan tidak adil untuknya sebagai pelakon yang mencari rezeki dalam bidang ini diperlakukan sedemikian. Malah, dia telah membuktikan beberapa buah drama lakonannya sebelum ini berjaya mencapai jumlah tontonan yang baik. Arja mahu bakatnya dihargai dan diberi peluang mewarnai industri hiburan tanah air. "Saya bukan baru dalam industri, malah bakat saya sudah terbukti melalui beberapa drama lakonan saya sebelum ini. "Bidang lakonan ini punca rezeki saya, tapi bila stesen televisyen bersikap begini, apa lagi harus saya lakukan!," soalnya. Sementara itu, pelakon berusia 34 tahun ini berkata apa yang dikongsi itu bukanlah untuk meraih simpati masyarakat sebaliknya mahu pihak berkenaan membuka mata mengenai permasalah tersebut. Tambahnya, dia bukanlah pelakon yang gemar 'membodek' pihak stesen televisyen untuk mendapatkan tawaran kerja. "Saya bukan mahu menagih simpati atau nak minta derma. Saya hanya mahu pihak berkenaan sedar dan melihat perkara ini secara lebih mendalam. "Jangan ada sikap favoritism dalam memilih bakat dan saya juga bukan jenis suka nak membodek untuk dapatkan job," ujarnya.