suria

Irene Terus Jadi Penyanyi Walaupun Ditipu

Irene tidak serik bergelar penyanyi meskipun menjadi mangsa penipuan.

PENYANYI Irene Catalina tidak serik meneruskan karier nyanyiannya meskipun pernah menjadi mangsa penipuan individu tidak bertanggungjawab.

Irene, 38, berkata, dia diminta membayar sebanyak RM20,000 kepada pihak yang berjanji untuk menguruskan promosi berkaitan kerjaya seninya.

"Tahun lepas saya ditipu oleh seseorang yang berjanji membantu menguruskan hal berkaitan publisiti dan promosi lagu terbaharu saya.

"Namun, kepercayaan yang saya beri dikhianati apabila lelaki itu melarikan diri dan gagal dihubungi. Tak apalah, saya anggap itu bukan rezeki.

"Walaupun pernah ditipu, saya tidak sesekali serik untuk meneruskan karier nyanyian kerana ini adalah minat dan jiwa saya," katanya kepada mStar Online.

Irene serius dalam bidang nyanyian dan berasakan ini adalah jiwanya.

Dia ditemui semasa Mini Showcase Irene Catalina dan Pelancaran single Ajari Aku di Comedy Planet, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Dalam persembahan tersebut, bekas ahli kumpulan Angles yang dikenali pada tahun 2005 ini menyanyikan lapan buah lagu istimewa untuk peminat yang menyaksikan persembahan berkenaan.

Menyebut mengenai single Ajari Aku ciptaan DJ Fuzz itu, Irene berkata lagu tersebut merupakan buah tangan terbaharunya untuk peminat setelah hampir sedekad meninggalkan dunia seni.

"Saya suka rentak lagu tersebut yang rancak dan sesuai dengan muzik semasa. Malah, lagu tersebut turut menjadi runut bunyi drama Encik Suami Mat Salih Celup.

"Insya-Allah, kami dalam perancangan untuk hasilkan single kedua tidak lama lagi dan harap peminat dapat menerima kemunculan semula saya," ujarnya yang turut merakamkan semula dua buah lagu bersama kumpulan Angels berjudul Sejarah Hitam dan Ada Kau Ada Dia.

Irene mula dikenali menerusi kumpulan Angels pada tahun 2005.

Sementara itu, isteri kepada Rostam Effendi, 38, serta ibu kepada Adam Haikal, 9, dan Eva Nur Natasha, 3, ini berkata, dia memperlahankan aktiviti seninya sebelum ini kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga.

Sehinggalah awal tahun lalu, dia mendapat 'lampu hijau' daripada suami untuk meneruskan karier sebagai penyanyi.

"Sebelum ini saya tumpukan kepada keluarga sehingga anak-anak dah mampu uruskan diri baru saya aktif semula dengan nyanyian.

"Alhamdulillah, suami menyokong keputusan saya ini dan sentiasa menjadi tulang belakang dalam kerjaya saya," katanya.

Irene Catalina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain