PENGACARA Roslan Shah menolak dakwaan segelintir pihak yang mengatakan majlis sambutan ulang tahun kelahirannya di Singapura pada 18 November lalu bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Roslan atau nama sebenarnya Roslan Udin, 47, berkata dia menerima banyak tajaan untuk sambutan itu dan majlis yang diadakan hanya untuk meraikan peminat dan rakan terdekat sahaja. "Bukan niat saya untuk menunjuk-nunjuk. Mereka yang berkata sedemikian tidak tahu cerita sebenar, tapi saya terima apa sahaja orang nak kata. "Majlis sambutan ulang tahun kelahiran ke 47 saya nampak meriah dan mewah sebab saya menerima banyak tajaan, ada macam-macam hadiah yang ditawarkan kepada tetamu termasuk barang kemas. Roslan bersama ibu dan adik-beradiknya pada sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-47 tahun. "Tujuan sambutan ini pun sebenarnya untuk meraikan peminat-peminat setia yang saya pilih dari Facebook," ujarnya kepada mStar Online. Menurut Roslan, dia hanya menjemput 250 orang peminat ke majlis itu. Namun, dia terharu kerana jumlah yang hadir mencecah 350 orang. Ujar pelakon ini lagi, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran rakan artis seperti Acong SweetChild, Azza (Elite) dan Erry Putra. "Selain rakan artis dan peminat, terdapat juga rakan media dari Malaysia yang hadir ke majlis saya," ujarnya lagi. Majlis ulang tahun kelahiran Roslan Shah (tengah) turut dimeriahkan dengan kehadiran Azza dan penyamai radio Warna Singapura iaitu Mohd Tahar Galib (TG). Dalam pada itu, Roslan berkata ini merupakan kali pertama dia membuat majlis sambutan ulang tahun kelahirannya di Singapura. Katanya, sudah banyak tahun dia membuat sambutan berkenaan di Malaysia. Kini, tiba masanya untuk meraikan peminat di Kota Singa pula. Ulang tahun kelahiran Roslan jatuh pada 17 November manakala sambutan berkenaan diadakan sehari selepas itu di The Ballroom, East Coast, Singapura Selain artis, peminat dan rakan media, acara itu turut dihadiri ibunya, Mariam Kari, kakak dan adik-beradik Roslan.