PELAKON filem Pengabdi Setan iaitu Bront Palarae tidak berhasrat untuk berpindah ke Indonesia bagi melebarkan kariernya walaupun mendapat banyak tawaran berlakon di negara itu. Sebaliknya kata Bront, 39, dia tidak melihat perkara itu sebagai satu keperluan kerana boleh berulang-alik sekiranya mempunyai projek di negara itu. "Alhamdulillah semenjak saya berlakon dalam siri mini HBO, Halfworlds memang tawaran daripada produksi dari Indonesia banyak. "Malah selepas filem Pengabdi Setan ditayangkan tawaran memang bertambah sehingga ada sangka saya menetap di sana. "Idea untuk berpindah ke Indonesia mungkin tidak perlu dan saya boleh berulang-alik tambahan pula tempoh penerbangan ke Indonesia tidak memakan masa lama," katanya. Bront berharap dapat bekerjasama dengan penggiat seni Indonesia di Malaysia. Dalam pada itu, Bront berkata, dia juga tidak mahu meninggalkan karier seninya di Malaysia tambahan pula dia sudah pun mempunyai pelbagai perancangan yang memerlukan dia berada di negara ini. Pun begitu kata Bront, dia melihat kolaborasinya dengan produksi Indonesia sebagai satu kelebihan dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka pula menerusi projek di Malaysia. "Banyak kelebihan sebenarnya apabila kita bekerjasama dan mana tahu selepas ini saya pula boleh ajak mereka berlakon di sini pula. "Apa-apa pun saya memang mahu lebihkan masa di sini kerana banyak juga tawaran dan projek yang perlu saya selesaikan," katanya. Sementara itu, Bront mendedahkan dia pada awalnya keberatan menerima pelawaan untuk membintangi filem Pengabdi Setan kerana enggan membawa watak sebagai seorang bapa selain persiapan singkat. Bagaimanapun kata Bront, selepas membaca skrip yang diberikan oleh pengarahnya Joko Anwar dia tertarik hati dengan jalan cerita filem tersebut. Bront muncul dalam filem Pengabdi Setan. "Apabila lihat watak sebagai lelaki berusia 55 tahun dan persiapan hanya kurang sebulan memang saya tidak mahu kerana itu adalah perbuatan bunuh diri! "Tetapi Joko pujuk saya untuk baca skrip terlebih dahulu dan selepas membaca memang saya setuju walaupun hanya ada masa singkat. "Alhamdulillah Joko dan produksi banyak membantu saya buat persiapan termasuk memastikan dialog saya yang ditutur dalam bahasa Indonesia dilakukan dengan baik," katanya. Dalam perkembangan lain, Bront berkata, selepas Pengabdi Setan dia juga akan muncul dalam filem Ayat-Ayat Cinta 2 yang turut menampilkan pelakon Nur Fazura. Untuk rekod, Pengabdi Setan menjadi filem Indonesia paling laris di Malaysia apabila mencacat kutipan panggung lebih RM4.8 juta selepas ia ditayangkan sejak 23 November lalu.