PENYANYI rap, Caprice ingin mengubah pandangan masyarakat yang melihat sesuatu perkara berbeza dengan berjihad menerusi beberapa aplikasi berhubung pembelajaran agama Islam. Caprice atau Ariz Ramli, 29, berkata, sudah lima tahun dia membuat kajian bagi mencipta aplikasi seperti Classruum.com, Mengaji,com dan terbaharu Rajin.com dalam melaksanakan jihadnya ke jalan Allah. “Selama lima tahun ini saya buat kempen jihad dalam pendidikan. Setiap minggu juga saya dapat jemputan untuk memberi ceramah di kolej dan sekolah. "Secara jujur, masalah segelintir masyarakat kita suka menilai dengan melihat sesuatu dengan berbeza. "Jadi, saya cipta aplikasi ini dan Alhamdulillah, tanpa promosi ia mendapat perhatian ramai," kata Caprice kepada mStar Online. Caprice cipta beberapa aplikasi untuk anak muda dan muslim seluruh dunia. Caprice ditemui ketika majlis pelancaran single bersama kumpulan nasyid, UNIC berjudul Sedar di Academia Cafe & Bistro, Kuala Lumpur pada Selasa. Bagaimanapun kata Caprice, dia tidak mahu masyarakat melihatnya sebagai ikon Islam kerana dia juga hanya manusia biasa yang berjihad untuk membantu anak muda dan umat Islam seluruh dunia. "Saya tak nak jadi ikon Islam tapi lebih rela digelar seorang lelaki yang nak berjihad untuk membantu anak muda serta muslim seluruh di dunia. "Setiap tagline aplikasi yang saya cipta adalah semuanya tentang perubahan hidup," ujarnya. Dalam pada itu, bercerita mengenai kolaborasi bersama UNIC, penyanyi lagu Wat Lek Wat Peace ini menganggap ianya satu peluang besar untuknya kembali dalam industri muzik. "Saya terima saja apa-apa peluang yang datang. Tambahan pula, UNIC satu kumpulan nasyid yang terkenal di Malaysia. Kolaborasi pertama Caprice dan UNIC menerusi lagu Sedar. "Bagi saya, ia juga satu peluang yang besar untuk saya kembali aktif dalam industri muzik setelah dua tahun tidak keluar apa-apa single," katanya. Kata Caprice, pada awalnya dia gementar memikirkan bagaimana penerimaan pendengar namun yakin peminat akan suka dengan lagu mereka itu. "Sudah tentu saya sangat gementar. Salah satu sebab penerimaan orang luar. Boleh ke orang terima saya yang menyanyi lagu rap. "Genre lagu nasyid dan rap yang saya bawa sangat berbeza dan setiap genre itu juga mempunyai peminatnya sendiri. "Lirik lagu sedar itu sangat umum. Saya rasa, peminat-peminat semua akan terima lagu ini," kata Caprice. Selain itu, Caprice akan muncul dengan single terbaru dan duet bersama Bunkface pada Januari tahun depan.