suria

Pemuda Cetak Rompak 'Janji Tak Buat Lagi'

Osman Ali (kiri), Yus Yusop, Datuk Saiful Safwan dan Mohammad Shafiq.

CHERAS: Lelaki yang bertanggungjawab merakam filem 'Pinjamkan Hatiku' secara haram akhirnya mendapat pengajaran berharga buat dirinya.

Mohammad Shafiq Adam, 21, yang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, Jumaat, mendakwa dia tidak mengetahui perbuatan tersebut adalah salah di sisi undang-undang.

"Saya mohon maaf atas apa yang saya lakukan terhadap filem itu kerana saya tidak tahu ia adalah satu kesalahan.

"Saya buat perkara itu tanpa sebarang niat lain atau untuk mencari pengikut di laman sosial, sebaliknya hanya suka-suka sahaja," ujarnya kepada mStar Online.

Dia ditemui pada sidang media khas yang diadakan di pejabat Aura White Global, di sini, Jumaat.

Pada 4 Disember lalu, Penerbit, Yus Yusof dan Datuk Saiful Safwan selaku Penerbit Eksekutif serta pengarah Osman Ali membuat laporan berhubung rakaman cetak rompak filem berkenaan di Balai Polis Puchong Jaya pada petang Isnin.

Mohammad Shafiq yang melakukan kesalahan itu di sebuah pawagam di Kuala Terengganu minggu lalu mengaku berasa bersalah.

Dia juga mengambil inisiatif memohon maaf bagi memberi kesedaran kepada semua golongan remaja yang mungkin pernah melakukan kesalahan sama atau tidak sedar perbuatan itu adalah satu kesalahan.

"Saya tidak terfikir apa yang saya buat itu boleh menyebabkan kerugian filem berkenaan.

"Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi pada masa akan datang," ujarnya.

Sementara itu, pengarah filem Osman Ali berkata, pihaknya tidak akan menarik balik laporan polis yang dilakukan awal minggu lalu.

Katanya, dia menyerahkan urusan dan tindakan seterusnya kepada pihak polis.

"Polis mungkin akan menjalankan siasatan dan kami tidak akan kacau kerja polis.

"Kami berterima kasih kerana dia sendiri sedar dan mahu tampil memohon maaf secara terbuka ini," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Osman berkata, filem lakonan Ayda Jebat, Shaheizy Sam dan Farid Kamil itu kini sudah mencecah kutipan RM1.8 juta dalam tempoh tujuh hari ditayangkan.

Katanya, ia merupakan perkembangan positif bagi filem genre romantik yang kurang mendapat sambutan sejak kebelakangan ini.

"Alhamdulillah, kini sudah dapat RM1.8 juta dan tempoh tayangan masih berbaki dua minggu lagi dan kami harap ramai lagi yang dapat datang menonton di pawagam pada minggu-minggu akhir ini," ujarnya.

Filem Pinjamkan Hatiku mula ditayangkan di seluruh pawagam pada 30 November lalu.

Pinjamkan Hatiku, cetak rompak

Artikel Sebelum

Abam (Bocey) Sah Bergelar Suami

Artikel Berikut

Artikel Lain