PELAKON Ika Nabella berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Gleneagles pada Jumaat akibat keracunan makanan. Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim, 28, berkata, dia mengalami muntah-muntah dan sakit perut yang serius sejak dua hari lalu. "Sejak dua hari lalu saya dah mula rasa tak sedap badan, muntah-muntah dan sakit perut. Badan jadi terlalu lemah dan tidak bermaya. "Melihat keadaan saya yang semakin membimbangkan, suami bawa ke hospital dan doktor meminta saya dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi mStar Online. Terdahulu, Ika ada memuat naik foto di Instagram dia terbaring di katil hospital sehingga menimbulkan tanda tanya peminatnya. Ika memuat naik foto di Instagram, pada pagi Sabtu. Sementara itu, bekas bintang program realiti Akademi Fantasia 6 tidak menolak kemungkinan tersalah memilih makanan menyebabkan dia menerima keracunan tersebut. "Saya tak pasti pula kalau ada tersalah makan di luar, tetapi yang peliknya suami saya sihat sahaja. "Mungkin ada apa-apa makanan yang diambil tak sesuai dengan tubuh badan saya. Alhamdullilah, sekarang ini keadaan semakin baik dan selera makan sudah ada," katanya. Suami, Muhammad Zaid membawa Ika ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. Dalam pada itu, Ika memaklumkan menerima banyak mesej daripada rakan dan peminat yang bimbang mengenai kesihatannya itu. Bagaimanapun, dia ingin berterima kasih kepada mereka yang prihatin dan tidak perlu bimbang kerana kesihatannya semakin pulih. "Apabila saya muat naik gambar di hospital tersebut, ramai yang mesej bertanya punca saya ditahan di wad. "Jangan risau ya. Saya sudah semakin pulih dan kalau semuanya sudah normal, saya akan dibenarkan pulang ke rumah. Apa-apa pun terima kasih atas doa kalian," katanya.