PETALING JAYA: Pelakon kontroversi, Nur Fathia Latiff mendedahkan dia masih berasa trauma selepas diserang oleh seorang individu tidak dikenali. Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 30, berkata, individu itu bertindak membaling rantai dan mengugut untuk mencederakan dirinya tanpa sebarang sebab yang diketahui. "Saya baru sahaja diserang oleh seorang berkepala botak. Selamat ada parang di belakang kereta. Anda semua perlu hati-hati. "Dia cuba mengugut saya dengan berkata "jangan sampai peluru aku sampai kat kau". Saya masih menggigil sehingga rasa trauma," ujarnya menerusi laman sosial Twitter pada Sabtu. Status Fathia di Twitter pada Sabtu. Fathia turut memuat naik foto parang yang tersimpan dalam keretanya bagi tujuan kecemasan. Dalam pada itu, Fathia berkata, dia memerlukan khidmat pengawal peribadi berikutan bagi menjaga keselamatannya yang kini terancam. "Saya perlu pengawal peribadi!. Ada pengawal keselamatan tapi hanya tengok sahaja," ujarnya. Tambah pelakon Ariana Rose ini, dia mengenali nama lelaki yang menyerangnya itu, namun enggan mendedahkannya atas sebab tertentu.