suria

Fattah 'Hilang' Selepas Produksi Tukar Perancangan

Emarina dan Fattah ketika berada di belakang pentas sebelum bersiaran langsung. Foto Instagram: @aqoimran.

PETALING JAYA: Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal menafikan pelakon Fattah Amin bersikap tidak profesional dan tidak mahu Neelofa kendali segmen pertama program MeleTOP pada malam Selasa.

Emarina berkata, Fattah sememangnya mempunyai urusan yang tidak dijangkakan dan terpaksa pulang beberapa minit sebelum program itu bersiaran secara langsung.

"Jika Fattah tak nak jumpa Neelofa, dari awal lagi dia tak datang dan terus balik sebaik saja selesai bersiaran bersama Hlive.

"Dia memang sudah bersedia di belakang pentas tapi beberapa minit sebelum kami nak bersiaran secara langsung, dia terpaksa pulang.

"Sebab ada urusan yang tidak dijangkakan dan tidak dapat dielakkan," kata Emarina ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Kecoh Fattah Enggan Muncul Dalam ‘Meletop’ Dihoskan Neelofa 

Ramai yang membuat spekulasi Fattah tidak profesional apabila tidak mahu Neelofa mengendali program tersebut. 

Emarina diminta mengulas spekulasi mengenai Fattah yang dikatakan enggan muncul dalam program tersebut disebabkan tidak mahu bertentang mata dengan Neelofa.

Mengikut perancangan awal, Fattah akan muncul bersama Fahrin Ahmad bagi tujuan mempromosikan drama My Coffee Prince lakonan mereka yang kini disiarkan di Astro Ria pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam.

Tambah Emarina lagi, pihak dia berterima kasih kepada Fattah yang sanggup memandu kereta dari Kedah untuk memenuhi undangan bagi mempromosikan drama berkenaan.

"Kami ingin berterima kasih pada Fattah dan pihaknya yang sanggup memandu pagi-pagi dari Kedah untuk promosi drama terbarunya.

"Kalau diikutkan jadual Fattah sangat padat dan dia juga terpaksa membatalkan mesyuarat penting untuk hadir ke program yang sudah dijadualkan," ujarnya.

Dalam pada itu, pihak Astro juga memohon maaf mengenai status yang dimuat naik di laman Instagram rasmi program tersebut sehingga menimbulkan perbalahan.

Menurut Emarina, segala kekeliruan antara pihak Neelofa dan Fattah sudah diselesaikan selepas tamat program tersebut.

"Kami mohon maaf sebab tidak nyatakan secara jelas mengenai situasi ketika itu. Fattah memang ada tapi dia tidak dapat hadir secara langsung.

"Kekeliruan antara pihak Lofa dan Fattah juga sudah selesai selepas program tamat bersiaran," kata Emarina.

Fahrin (kiri) turut terkejut apabila Fattah tidak muncul di saat-saat akhir.

Fahrin Ahmad Tidak Sedar Fattah Hilang

Sementara itu Fahrin yang turut berada di lokasi kejadian memberitahu dia sendiri hanya sedar ketiadaan Fattah sebaik sahaja dia naik ke pentas set MeleTOP.

Kata Fahrin, pada awalnya dia dan Fattah sudah dimaklumkan pada sesi taklimat yang mereka perlu muncul pada segmen pembukaan rancangan itu tanpa adanya pengacara namun ia ditukar pada saat-saat akhir.

"Kami membuat persiapan untuk mengendalikan segmen pembukaan MeleTOP  berdua (bersama Fattah) sahaja pada awalnya, namun pihak produksi membuat perubahan saat-saat akhir yang mana turut ada Neelofa dan Nabil.

"Dalam kesibukan itu saya naik ke pentas dan mencari-cari, Fattah sudah tiada. Saya juga terpinga-pinga kemana dia menghilang secara tiba-tiba," ujarnya.

Fahrin berkata, dia terdahulu bersama-sama Fattah mempromosikan drama lakonan mereka dalam program Hlive! di lokasi yang sama sebelum ke program popular tersebut.

Bagaimanapun, Fahrin berkata, mujur dia seorang yang berpengalaman dan mampu mengendalikan situasi berkenaan secara bersendirian.

"Kami (Fahrin dan Fattah) sudah rancang apa yang masing-masing patut cakap tapi nasib baik juga saya sudah biasa bercakap dan tahulah apa nak cerita tentang drama itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Fahrin berkata, sehingga kini pelakon tersebut belum menghubunginya menjelaskan perkara berkenaan.

"Sejujurnya saya memang tidak tahu apa yang berlaku ketika itu, hanya pihak produksi yang tahu cerita sebenarnya," ujar Fahrin.

Fattah Amin, Neelofa, Fahrin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain