PENYANYI Wany Hasrita terkena tempias apabila video lagu 'cover' Tak Tun Tuang yang dinyanyikannya bersama penyanyi FMC lain iaitu Wani menjadi tular di media sosial awal bulan lalu. Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 24, berkata, segelintir peminat tidak dapat menerima sikapnya yang gila-gila dalam video berkenaan. "Ada yang anggap saya pakai tudung dan perlu sentiasa bersikap sopan tapi sebenarnya saya ini seorang yang gila-gila. Jadi mereka mahu saya kawal diri dan tingkah laku sebagai wanita bertudung. "Sebab itu juga ramai yang mula komen-komen tidak sedap untuk dibaca. Tapi bila fikir balik kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang," ujarnya kepada mStar Online. Hidup Berubah Sejak Jadi Penyanyi Wany bakal membuat persembahan pada Konsert Suria FM 10 Tahun pada 16 Disember ini di Jitra, Kedah. Bagaimanapun, Wany berkata, dia berjanji akan lebih menjaga tingkah lakunya agar tidak keterlaluan sehingga menimbulkan rasa kurang senang mana-mana pihak. Sementara itu, penyanyi Rintihan Rindu ini berkata, dia memilih untuk memadam komen negatif daripada netizen di laman sosial itu atas sebab-sebab tertentu. Katanya, komen berunsur negatif hanya menimbulkan perbalahan dan rasa kurang senang pada dirinya dan peminat-peminat yang lain. "Sayu akui kadang-kadang terkesan juga dengan komen-komen negatif peminat sebab itu jika ada yang keterlaluan saya padam sahaja. "Ia mengelakkan aura negatif pada laman sosial itu, kadang-kadang komen-komen begitu saja inginkan diberi perhatian dan mewujudkan perbalahan pula sesama mereka," ujarnya.