suria

Wan Norazlin Berdakwah, Tegur Rakan Artis

Wan Norazlin gunakan laman sosial untuk mengajak rakan artis menyertai kelas pengajian agama. Foto: LOW LAY PHON

PELAKON Wan Norazlin yang sudah sekian lama berubah penampilan mengakui menjadi peranannya untuk melakukan teguran kepada rakan-rakan artis sekiranya mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Menurut Wan, 49, semenjak menghadiri kelas agama, dia sering memberi teguran kepada rakan artis terutamanya ketika di set penggambaran.

"Jika saya lihat ada sesuatu yang tidak betul di set penggambaran, memang tanggungjawab saya untuk menegur.

"Tapi teguran itu biasanya dalam bentuk mengajak ke arah kebaikan dan bercerita, bukannya menghukum mereka.

"Saya tidak kisah sekiranya individu yang ditegur tidak dapat menerima apa yang cuba saya sampaikan," katanya kepada mStar Online.

Wan berasakan menjadi tanggungjawab untuk menegur rakan-rakan artis.

Sementara itu, Wan memaklumkan dia menggunakan laman Instagram miliknya untuk mengajak rakan-rakan artis dan karyawan menyertai kelas pengajian agama.

Malah, Wan berasakan sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang muslim untuk melakukan dakwah.

"Bila kita belajar agama, memang salah satu tujuannya adalah untuk berdakwah dan menyampaikan ilmu.

"Saya menggunakan laman sosial untuk mengajak rakan-rakan supaya lebih dekat dengan Allah. Jika ada kelapangan, mereka boleh sertai kelas yang saya hadiri," katanya.

Barisan pelakon drama Syurga Yang Kedua.

Dalam pada itu, pelakon telefilem Air Mata Ibu itu mengakui jiwanya lebih tenang semenjak menghadiri kelas agama.

"Tiada sebab lain, semua ini untuk diri sendiri. Apabila belajar agama, jiwa lebih tenang.

"Saya banyak belajar dari kejahilan lalu, kini saya mahu bersihkan jiwa dan roh," ujarnya.

Bercakap mengenai perkembangan terkini, Wan muncul dalam drama Syurga Yang Kedua bersiaran di Astro Prima dan Maya HD bermula 12 Disember lalu.

Selain Wan, drama 70 episod itu turut dibintangi pelakon handalan seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Fasha Sandha, Elizad Sharifuddin dan Zarul Husin.

Wan Norazlin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain