suria

Tuah Aishah... Terima RM100,000, Lot Tanah

Aishah memberi persembahan menarik setiap minggu sehingga diumumkan juara GV4. Foto: Abdul Rahman Embong.

JOHOR BAHRU: Penyanyi Aishah yang memberi saingan pada saat-saat akhir diumumkan sebagai juara pertandingan Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang berlangsung di Studio Pinewood, di sini, pada malam Ahad.

Aishah  atau Wan Aishah Wan Ariffin, 52, menyanyikan lagu All By Myself nyanyian asal Celine Dion dan lagu Supergirls duet bersama Liza Hanim menerusi pusingan battle.

Dia menewaskan lima peserta lain yang terdiri daripada Liza Hanim, Hazami, Lan, Firman dan Tia (Jinbara).

Pereka Fesyen Terkenal Akhirnya Taja Aishah

Kemenangan itu melayakkan Aishah menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 sumbangan Astro dan penaja iaitu Qu Puteh serta trofi.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu turut menerima sebidang lot tanah banglo sumbangan Bina Megan Empire, pakej percutian ke Eropah Timur sumbangan selamatbercuti.com, barangan kemas sumbangan DSV Gold and Jewelry serta  baucer membeli belah Go Shop bernilai RM5,000.


Aishah (tengah) selaku juara bersama Liza Hanim (kiri) yang mendapat tempat kedua manakala Lan menmperoleh tempat ketiga. Foto: Abdul Rahman Embong

"Terima kasih kepada Astro, juri, peminat dan semua yang menyokong saya selama ini," ujarnya.

Liza Hanim yang memenangi tempat kedua menerima wang tunai RM50,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Turki, barangan kemas dan baucer membeli belah Go Shop bernilai RM5,000.

Penyanyi Lan pula yang berada pada tempat ketiga membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, sebidang lot tanah banglo, percutian ke Boracay, barangan kemas dan baucer sumbangan Go Shop berjumlah RM4,000.

Hazami yang menduduki tempat keempat menerima wang tunai RM20,000, pakej percutian ke Jogjakarta, barangan kemas dan baucer membeli belah Go Shop sebanyak RM3,000.

Sementara itu, Firman yang yang berada pada tempat kelima mendapat wang tunai RM15,000, barangan kemas dan baucer membeli belah Go Shop berjumlah RM2,000.

Liza Hanim (kiri) dan Aishah.

Tia yang menduduki tempat keenam menerima wang tunai sebanyak RM10,000, barangan kemas dan baucer sumbangan Go Shop berjumlah RM1,000.

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anuar Salleh, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad dan Pengasas Vida Beauty Cosmetic, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.

Persembahan enam peserta dinilai oleh  juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang manakala juri jemputan ialah Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor.

Hetty ketika memberi komen sewaktu persembahan solo Aishah turut menitiskan air mata kerana terpegun dengan kehebatan penyanyi itu menjiwai lagu yang disampaikan.

Malam kemuncak Gegar Vaganza musim keempat dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse dan turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Mamat dan Ezad (Exist).

Aishah, Gegar Vaganza, GV4

Artikel Sebelum

Artikel Lain