PEMENANG tempat keempat program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) Hazami memohon peminat yang mempertikaikan kedudukan Lan di tangga ketiga supaya bertenang dan menerima keputusan itu. Hazami atau Norkamal Hazami Ahmad, 42, berkata, dia sedar ramai yang mempertikaikan keputusan itu namun dia memilih untuk reda dan bersyukur dengan apa yang diperolehinya. "Tak perlu marah, bertenang dan bersabar semua. Tuhan dah tulis malam ini bukan rezeki saya untuk berada dalam tiga teratas. "Saya hormati pandangan peminat. Itu hak mereka untuk bercakap. Tapi kita perlu terima keputusan juri dan menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka," katanya kepada mStar Online. Aksi Hazami ketika di pentas akhir Gegar Vaganza 4. Foto: ABDUL RAHMAN EMBONG Hazami ditemui selepas Konsert Akhir GV4 yang berlangsung di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Johor Bahru pada malam Ahad lalu. Saingan akhir itu menyaksikan Hazami sekadar berpuas hati di tangga keempat dengan markah 70 peratus, manakala, Lan mendapat 70.4 peratus. Sementara itu, penyanyi lagu Sonata Musim Salju ini berkata mereka yang berada dalam kelompok tiga teratas itu memang layak kerana sudah menempuhi pelbagai dugaan sepanjang menyertai GV musim ini. "Saya tahu perjalanan cerita tiga pemenang ini dan mereka telah melalui banyak dugaan dan ujian. Hazami mahu peminat bertenang dan terus menyokong karier seninya. "Jadi mereka memang layak untuk menang, mereka sangat hebat dan berbakat," katanya. Dalam pada itu, Hazami berkata dia akan mengadakan showcase istimewa untuk peminat setianya pada tahun depan. Tambahnya, dia menjanjikan sesuatu yang menarik dan berbaloi buat mereka yang menghadiri showcase itu nanti. "Showcase ini sempena meraikan 15 tahun saya dalam industri. Ia juga akan memperlihatkan diri saya sebagai penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik. Pentas akhir GV4 menyaksikan pemenang dari kiri; Liza Hanim (tempat kedua), Aishah (Juara) dan Lan (ketiga). "Untuk mereka yang tak putus-putus menyokong, yang selalu menjerit bila saya buat persembahan, showcase ini khas untuk mereka," katanya. Di pentas akhir GV4, Hazami mendendangkan lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian asal Hafiz Suip. Sewaktu saingan battle pula, dia berduet dengan Lan menyanyikan lagu Amboi dendangan asal Altimet. Keputusan keseluruhan menyaksikan Aishah berada di kedudukan pertama dengan markah sebanyak 81 peratus, Liza Hanim (79 peratus), Lan (70.4 peratus), Hazami (70 peratus), Firman (69 peratus) dan Tia Jinbara di kedudukan terakhir dengan markah sebanyak 66 peratus.