suria

Siti Nurhaliza Kembali Aktif Selepas Bayi 6 Bulan

Siti Nurhaliza terima banyak hadiah peminat.

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza merancang untuk kembali aktif dalam industri seni suara selepas anak yang bakal dilahirkan berusia enam bulan.

Siti, 38, berkata, dia ingin memberi fokus kepada pembesaran bayinya terlebih dahulu sebelum kembali menumpukan perhatian kepada kerjaya nyanyian dan perniagaan.

"Saya mungkin kembali bekerja semula selepas bayi berusia enam bulan. Insya-Allah saya sudah ada perancangan untuk perniagaan saya dalam tempoh masa enam bulan itu.

"Dari segi kerjaya nyanyian pula, saya akan adakan konsert pada penghujung tahun hadapan," ujarnya kepada mStar Online.

Penyanyi lagu Segala Perasaan itu kini sedang hamil enam bulan dan bakal melahirkan cahaya mata pertama pada Mac 2018.

Pasangan ini bakal menimang cahaya mata pada Mac depan.

Siti dan Datuk Seri Khalid berkahwin pada 21 Ogos 2006.

Sementara itu, Siti berkata, dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk terlibat dengan mana-mana program realiti TV anaknya nanti.

Bagaimanapun, Siti berkata, sekiranya mendapat tawaran tersebut, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan suami.

"Setakat ini tiada rancangan untuk apa-apa program realiti. Namun jika ada yang datang menawarkan, saya kena berbincang dahulu dengan suami sama ada boleh atau tidak.

"Program realiti ni ambil masa yang panjang dan kena tahu konsep dan dan isi kandungnya," ujar Siti.

Sementara itu, dia juga menerima pelbagai hadiah istimewa daripada peminat untuk bayi dalam kandungan itu.

Katanya, dia terpaksa menyediakan sebuah bilik khas untuk menempatkan barang-barang bayi yang diterima.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat yang beri macam-macam hadiah baju-baju dan bantal bayi. Saya sediakan satu bilik khas untuk hadiah-hadiah mereka.

"Ada juga pihak yang ingin menaja, tetapi saya belum beri kata putus. Saya anggap ini adalah rezeki anak," ujarnya.

Siti Nurhaliza

Artikel Berikut

Artikel Lain