TINDAKAN pelakon Amyza Aznan yang memilih meneruskan penggambaran dan tidak segera ke hospital selepas mendapat perkhabaran suaminya, Khairil Izhar Mohd Nazir diserang penyakit jantung pada Jumaat lalu mendapat kritikan netizen. Keputusannya itu disifatkan sebagai tidak prihatin selain dituduh tidak mengambil berat mengenai keadaan suami sendiri dan lebih mementingkan kerjaya. Amyza yang dihubungi mStar Online pada Ahad memberitahu dia terkilan dengan tuduhan tersebut yang disifatkan dibuat secara melulu dan tidak adil kerana apa diperkatakan itu sama sekali tidak benar. "Memang benar saya habiskan penggambaran dulu sebelum ke hospital tetapi apa yang orang tidak tahu adalah betapa gusarnya hati saya sebagai seorang isteri ketika itu. "Saya jadi tenang selepas saya telefon hospital untuk dapatkan gambaran sebenar mengenai suami dan Alhamdulillah mereka beritahu saya tidak perlu bimbang atau panik kerana keadaan suami stabil. Suami Amyza, Khairil Izhar mengalami serangan jantung pada Jumaat lalu. "Sebab itu saya ambil keputusan selesaikan kerja kerana tidak mahu pentingkan diri malah ketika itu pun pihak produksi tidak tahu keadaan suami," katanya. Pada petang Jumaat lalu, Khairil memandu sendiri ke Hospital Ampang Puteri selepas sukar bernafas dan mengalami batuk hampir sebulan lalu. Dia kini masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas mengalami serangan jantung dan keadaannya kini stabil. Dalam pada itu, Amyza berkata, dia bukan ingin meraih simpati apabila memuat naik mengenai keadaan Khairil di Instagram miliknya. Amyza Aznan. Sebaliknya, kata Amyza, dia sekadar ingin berkongsi mengenai keadaan suaminya itu selain sedar dengan perkongsian itu ramai akan turut mendoakan kesejahteraan dan kesihatan suaminya agar segera pulih. "Saya bukannya minta derma tetapi sekadar doa buat suami saya dan Alhamdulillah ramai mendoakannya. Janganlah kita nafikan kuasa doa itu," ujarnya. Bercakap mengenai perkembangan suaminya, Amyza berkata, doktor berjaya mengeluarkan sebanyak empat liter air daripada paru-parunya yang dipenuhi air. "Terkejut juga saya empat liter air dikeluarkan... Insya-Allah pada Selasa ini doktor akan buat pemeriksaan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar keadaannya. "Alhamdulillah setakat ini suami saya stabil cuma masih lemah," katanya.