PENYANYI Sufian Suhaimi menjelaskan dia dan tunangnya, Elfira Loy tidak mengikuti laman Instagram masing-masing adalah disebabkan masalah teknikal. Sufian, 25, berkata dia dan Elfira sudah beberapa kali cuba untuk mengikuti (follow) semula akaun Instagram masing-masing namun tidak berjaya dan tidak tahu bagaimana perkara tersebut boleh terjadi. "Saya sendiri tidak tahu macam mana saya dan Elfira tidak mengikuti laman Instagram masing-masing. Secara tiba-tiba saya tengok dah tak follow. "Dah banyak kali kami cuba untuk ikuti semula namun tidak berjaya. Saya tak tahu macam mana mereka atau Instagram boleh buat macam itu," kata Sufian ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu. Sufian dan Elfira bertunang pada Oktober lalu. Sufian diminta mengulas mengenai dia dan pelakon wanita itu dilihat saling tidak lagi mengikuti laman Instagram masing-masing. Menurut Sufian, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dan hubungan selain masih lagi baik biarpun hanya berhubung menerusi telifon. Bagaimanapun, Sufian tidak menafikan mereka ada melalui ujian pertunangan yang berpunca daripada orang sekeliling. "Saya dan Elfira masih lagi baik dan tidak ada apa-apa masalah. Walaupun kami dah lama tidak jumpa tapi setiap hari berhubung menerusi telefon. "Memang saya akui kami ada lalui ujian pertunangan seperti orang lain. Tapi ia bukan berpunca daripada saya atau Elfira. "Tapi daripada orang di sekeliling kami sendiri. Saya harap semua doa yang baik-baik buat kami berdua," ujarnya. Sufian dan Elfira tidak menetapkan tarikh perkahwinan lagi. Sufian menghantar rombongan merisik Elfira selepas empat bulan berkawan rapat dan mereka mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober lalu di Cheras, Kuala Lumpur. Perancangan awal untuk berkahwin mereka pada bulan Mac 2018 namun penyanyi lagu Terasa Ada ini memberitahu dia dan Elfira belum lagi mempunyai tarikh sebenar pernikahan. Kata Sufian, mereka juga belum melakukan persiapan disebabkan sibuk dengan urusan masing-masing namun akan berkongsi perkara itu tidak lama lagi. "Tarikh yang diberitahu masa majlis pertunangan itu hanya perancangan sahaja. Kami belum menetapkan lagi tarikh sebenar untuk bernikah. "Persiapan pun belum buat lagi sebab masing-masing sibuk. Saya sekarang tengah sibuk nak habiskan Ijazah Sarjana dan Elfira pun sibuk dengan kerjanya. "Insya-Allah bila dah ada semuanya, kami akan berkongsi dengan semua orang," katanya.