BEKAS vokalis Kristal iaitu Lan Solo menjelaskan tiada sebab untuk dia terus bermusuh dengan anggota lain kumpulan itu walaupun kini tidak lagi bersama mereka. Jelas Lan atau Razlan Mohamed Yusof, 32, mereka sudah bersama hampir 20 tahun dan berharap persahabatan yang terjalin akan kembali jernih pada masa akan datang. "Dari segi persahabatan saya harap hari mendatang ia akan jadi lebih baik dan kalau hendak berjumpa atau berselisih rasanya tiada masalah. "Saya bukannya mencuri atau pukul orang dan apa yang berlaku di antara kami pasti ada hikmah," katanya kepada mStar Online. Lan ketika bersama Kristal. Sebelum ini, Lan mengumumkan mengundurkan diri daripada Kristal selepas pemain gitarnya, Rody menerusi Instagram memberitahu akan merehatkan vokalis mereka. Menerusi status sama, Rody memberitahu Kristal akan mengadakan uji bakat mencari pengganti baharu. Dalam pada itu, Lan berkata, buat masa ini dia belum bersedia sekiranya ada ruang untuk mereka kembali bekerjasama sebagai sebuah kumpulan. Lan mahu mencuba pelbagai genre muzik selain rock. Sebaliknya kata Lan, selepas program Gegar Vaganza musim keempat tamat baru-baru ini dia ingin memberikan tumpuan kepada karier solonya dan mencuba perkara baharu. "Saya ingin keluar daripada zon selesa dan sebagai penyanyi saya mahu mencuba pelbagai genre muzik dan bukannya memfokuskan kepada rock semata-mata. "Alhamdulillah sejak menyertai GV saya banyak mencuba benda baru termasuk tampil dengan imej segar dan nampaknya peminat pun dapat terima dengan baik," jelasnya. Pun begitu kata Lan, itu bukan bererti dia akan meninggalkan muzik rock kerana ia sudah sebati dengan dirinya selain genre itu yang memperkenalkan namanya sebagai penyanyi.