KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Elvina Mohamad memohon maaf kepada semua pihak ekoran isu beberapa keping gambarnya berpakaian seksi ketika menyambut tahun baharu 2018 di Langkawi, Kedah, baru-baru ini tular. Elvina, 23, yang dikecam teruk berikutan isu itu menyesali kecuaiannya kerana memuat naik gambar-gambar tersebut di akaun Instagram peribadinya. "Saya akui itu memang gambar saya cuma saya tidak tahu bagaimana dan siapa yang menyebarkannya sebab gambar-gambar itu saya muat naik di akaun (peribadi) saya. "Bukannya saya muat naik pada akaun umum jadi terkejut juga ia boleh tersebar. Saya tidak mahu tuding jari kepada sesiapa tapi ia berlaku kerana kecuaian saya sendiri. "Maafkan kesilapan saya jika gambar-gambar itu menimbulkan kemarahan atau mengguris hati mana-mana pihak terutama peminat," katanya kepada mStar Online. Elvina (kiri) bersama rakan-rakannya. Dia hairan bagaimana gambar peribadi ini tersebar. Gambar-gambar pelakon siri Shhh I Love You yang berpakaian seksi dan memegang vape ketika sambutan tahun baharu itu difahamkan dimuat naiknya ke akaun Instagram peribadi. Menurut Elvina atau Norzalina Mohamad ia untuk koleksi peribadi semata-mata. Malah, pengikut akaun itu hanya terdiri daripada keluarga dan rakan rapat saja. Katanya lagi, kejadian itu memberi pengajaran besar untuk pelakon baharu sepertinya. "Saya ke sana (Langkawi) untuk sambut tahun baharu dengan kawan-kawan perempuan sebab kebetulan saya dapat cuti daripada penggambaran baru-baru ini. "Kami hanya berseronok dan berehat saja dan tak buat benda bukan-bukan atau buat sesuatu yang boleh menimbulkan masalah. "Tapi saya cuai sebab tak sensitif dengan gambar-ambar itu. Saya belajar daripada kesilapan dan berharap hal ini tak berpanjangan," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri Isteri Untuk Diiktiraf terbitan JS Pictures bagi tayangan RTM pada Ramadan nanti.