suria

'Ku Rela Dibenci' Terima Pengiktirafan Malaysia Book Of Records

Lagu nyanyian Aiman iaitu Ku Rela Dibenci mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records.

PENYANYI Aiman Tino meluahkan rasa terharu apabila lagu nyanyiannya berjudul Ku Rela Dibenci mencipta sejarah apabila ia tersenarai dalam Malaysia Book Of Record.

Menurut Aiman, dia tidak menyangka lagu sulungnya itu mendapat jumlah tontonan tertinggi di laman Youtube sehingga layak menerima penghargaan tersebut.

"Tak sangka dan terkejut apabila dimaklumkan lagu tersebut tersenarai sebagai lagu paling banyak tontonan.

"Lagu itu sendiri sangat bermakna dalam hidup saya kerana di situlah bermulanya karier saya sebagai penyanyi," katanya kepada mStar Online.

Sehingga kini, lagu ciptaan kedua ibu bapanya iaitu Yusri dan Riena itu mendapat lebih 43 juta tontonan di Youtube.

Aiman memberitahu majlis penyerahan sijil penghargaan atas kecemerlangannya itu akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 16 Januari ini.

Aiman terharu apabila Ku Rela Dibenci mendapat pengiktirafan.

Sementara itu, Aiman mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat dan pendengar yang sentiasa memberi sokongan.

Meskipun ada yang memberi kecaman terhadap lagu tersebut, penyanyi berusia 19 tahun ini mengakui ia turut menyumbang jumlah tontonan.

"Saya ingin berterima kasih kepada penonton di seluruh dunia yang telah menonton muzik video tersebut di Youtube.

"Walaupun awalnya dulu ada yang mengecam lagu Ku Rela Dibenci, saya tak boleh nafikan mereka turut menyumbangkan kepada jumlah tontonan," katanya.

Bercakap mengenai karier nyanyian, Aiman kini sedang mempromosikan single baharu berjudul Terasa Cinta duet bersama kakaknya, Fara Hezel.

"Sekarang sibuk promosi lagu Terasa Cinta, InsyaAllah bulan Februari ni single baru saya akan dilancarkan.

"Tentang bisnes, saya akan keluarkan minum kesihatan di bawah jenama Jus Manno. Minuman tenaga ini bakal dikeluarkan tidak lama lagi," ujarnya.

Aiman Tino, Ku Rela Dibenci

Artikel Lain