SENTIASA tampil dengan senyuman dan ceria, luahan beremosi yang dikongsi penyanyi Elyana menerusi InstaStory miliknya pada malam Selasa lalu sedikit sebanyak memberi gambaran tentang perasaan sebenarnya menentang penyakit barah dihidapinya. Elyana menerusi beberapa perkongsian menggambarkan bukan mudah untuk dirinya melawan penyakitnya dan memberitahu dirinya tidak berada dalam keadaan baik. Selain itu, bekas peserta program Gegar Vaganza musim keempat itu juga memberitahu sudah letih sering berada dalam keadaan sakit setiap masa. "Saya takut kerana sedar saya tidak boleh melawan buat selamanya. Antara luahan Elyana. "Secara perlahan-lahan saya berputus asa," antara beberapa lagi perkongsian Elyana di InstaStory di Instagram. Terdahulu, Elyana mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan dia menghidap kanser tahap empat ketika membuat ucapan selepas tersingkir daripada meneruskan pertandingan program Gegar Vaganza. Elyana berkata, dia disahkan menghidap kanser limfoma sejak tujuh tahun lalu.