suria

Abam Tidak Mahu Isteri Jadi Pengurus

Abam rasa perubahan selepas sebulan berkahwin. Foto: MUHAMAD SHAHRIL ROSLI.

PELAWAK terkenal Abam Bocey berpendapat akan timbul masalah jika isterinya, Siti Norhidayah Mohd Ali menjadi pengurus peribadi dan menguruskan jadual kerjanya.

Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 30, berkata isterinya akan bekerja dengan emosi dan tidak boleh bersikap profesional.

"Ada masalah apabila isteri menjadi pengurus kita. Isteri saya tak boleh kerja secara profesional. Dia akan kerja dengan emosi.

"Apabila saya balik lambat, dia akan marah dan tanya bila kerja nak habis. Jadi, saya tak nak campur aduk.

"Tapi sekarang dia dah faham kerja saya bila kami sama-sama merakamkan video pra-perkahwinan yang mengambil masa seharian. Baru dia tahu sukarnya jalani penggambaran," kata Abam kepada mStar Online.


Isteri faham kerja Abam.

Abam ditemui ketika sidang media Bintang Bersama Bintang di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Damansara Perdana pada Selasa.

Kata Abam, sebelum ini dia sudah terbiasa tinggal sendiri dan kini mengakui banyak perubahan selepas sebulan berumah tangga.

"Sebelum ini saya sudah terbiasa duduk sendiri, jadi bila dia pergi kerja saya rasa macam 'oh saya ada bini ke'?

"Isteri saya tak kelakar tapi dia pernah juga buat kelakar tiba-tiba gear kereta tak boleh masuk sedangkan semalam boleh.

"Rupanya dia tak tukar brek. Itu kira punchline la tu. Saya gelak tak berhenti. Benda itu macam cara kami bergurau," ujarnya.

Abam dan Norhidayah berkahwin pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Kuala Selangor.

Abam akan ber'perang' dengan lima pelawak.

Majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan diadakan pada 20 Januari ini di Gombak, dekat sini.

Dalam pada itu, Abam bakal berentap dengan lima orang pelawak iaitu Ajak Shiro, Issey, Achey, Shuk dan Mark Adam menerusi program Bintang Bersama Bintang.

Menurut Abam, dia akan membawa adiknya Ali Puteh sebagai artis jemputan pada minggu pertama yang akan berlangsung pada Ahad ini.

"Untuk minggu pertama saya akan bawa adik sendiri iaitu Ali sebagai artis jemputan. Sebab dia antara yang rapat dengan saya.

"Kami pun banyak berbincang mengenai idea dan saya banyak bertanya pendapat dengan dia. Jadi lebih senang beraksi dengan dia saja," kata Abam.

Selain itu juga, Abam ada meminta pendapat serta nasihat daripada rakan baiknya, Fad Bocey.

"Saya juga ada hubungi Fad untuk bertanyakan pendapat dan sedikit nasihat. Malah, dia juga ada memberi sedikit idea," katanya.

Artikel Sebelum

Wan Maryam Pilihan Fizo, Mawar

Artikel Berikut

Artikel Lain