PENGACARA dan pelakon popular, Noor Neelofa menyimpan hasrat untuk membuka sebuah pusat pengajian Al-Quran. Bagaimanapun, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 29, berkata dia mahu memperbaiki diri terlebih dahulu sebelum menunaikan hasrat itu. "Saya pasti, ibu dan bapa saya juga mempunyai impian sama. Saya juga dari dahulu memang sudah merancang sedikit demi sedikit untuk merealisasikan hasrat itu. "Tapi biasalah, saya mahu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik sebelum saya menunaikan impian itu. Doakan saya semoga urusan itu dipermudah,” kata Neelofa kepada mStar Online. Neelofa Neelofa ditemui ketika menghadiri pentas akhir Pencarian Gadis Panca-NR 2017 di Ibu Pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur pada Jumaat. Dalam pada itu, pelakon drama Red Velvet ini mahu memberi fokus utama dalam perancangan perniagaan tudungnya, Naelofa Hijab dan komitmennya terhadap syarikat penerbangan Air Asia. Namun, ia tidak bermakna Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Air Asia ini mahu meninggalkan dunia seni. "Tahun ini fokus perniagaan dan bidang seni mcm biasa. Saya ada tanggungjawab di Air Asia dan perancangan untuk perniaagn Neelofa hijab 2018 yang memerlukan komitmen yang tinggi. "Tapi itu tidak bermakna saya tinggalkan dunia seni. Jika ada tawaran yang bagus dan baik, Insya-Allah saya akan terima,” ujarnya.