PETALING JAYA: Segmen Suria Pagi di Suria FM pada minggu hadapan kembali meriah sekembalinya Zulin Aziz dari Korea Selatan. Lebih menarik, bintang remaja popular iaitu Haqiem Rusli dan Tajul bakal diundang menggamatkan konti dengan pelbagai topik menarik. Antara topik yang akan dibincangkan adalah Cakap Lepas – Berdiam atau Balas Balik? Perangai Tipikal Rakyat Malaysia Ketika Berlaku Kemalangan, Masihkah Ada Yang Setia Ketika Susah Dan Senang? dan Adakah Lelaki Yang Pandai Masak Ini Seksi? Semnetara itu, meskipun tanpa Zulin minggu ini, Fizi tidak keseorangan kerana dia ditemani lima orang penyanyi wanita popular iaitu Nabila Razali, Erni Zakry, Amira Othman, Wany Hasrita dan Ara Johari. Nabila Razali jadi tetamu pertama pada Isnin lalu. Menurut Pengurus Program Suria FM, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid berkata tujuan mereka menjemput artis jemputan sebelum ini bagi menemani Fizi supaya pendengar tidak berasa kekurangan tanpa Zulin. "Sebenarnya konsep menjemput lima gadis teman Fizi sebab Zulin di Korea. Pihak pengurusan Suria perlu keluarkan sesuatu idea yang lain. "Tak kan nak biarkan Fizi seorang sahaja sebab itu kami buat keputusan letakkan pasangan untuk dia selama seminggu. Supaya pendengar tak rasa macam kekurangan," kata Lin kepada mStar Online. Wany menemani Fizi pada Khamis. Selain Suria Pagi, Menu Suria dan Waroong Suria, slot Suria Petang bersama Tyzo dan Suraya juga memberikan hadiah menarik kepada pendengar sepanjang minggu ini menerusi segmen Kutuk Karok yang mana pendengar hanya perlu nyanyikan lagu kegemaran mereka. Suara yang paling sedap didengar akan memenangi hadiah sumbangan Sunway Lagoon bernilai RM600. Segmen karaoke juga turut disiarkan dalam Suria Cinta bersama DJ Lin yang bersiaran setiap Ahad hingga Jumaat. Menerusi slot jiwang tersebut, pendengar turut berpeluang memenangi hadiah barangan Dnars bernilai RM150.