suria

Bintang Veteran Fatimah Yassin Patah Tulang Belakang

Fatimah Yassin disahkan menghidap tulang rapuh dan patah tulang belakang akibat terjatuh. Foto: SYAZANA ABD SHUKUR / The Star

AKIBAT terjatuh di sebuah pusat beli-belah, pelakon veteran Fatimah Yassin tidak mampu meneruskan aktiviti harian sejak September tahun lalu.

Menurut Fatimah, 79, dia disahkan menghidap Osteoporosis (tulang rapuh) yang mengakibatkan patah tulang belakang dan kini masih menjalani rawatan pakar.

"Ketika kejadian saya berada di sebuah pusat beli-belah, saya terjatuh dengan tiba-tiba dan bermula daripada situlah saya tak mampu nak berjalan seperti biasa.

"Doktor sahkan saya mengalami tulang rapuh dan tulang belakang di bahagian T3 patah serta memerlukan rawatan fisioterapi.

Fatimah menceritakan punca dia terbaring dan tak mampu berjalan.

"Sebelum ini pun saya memang ada sakit lutut kerana terlalu aktif, tak sangka pula akibat jatuh itu membuatkan saya tak mampu bergerak," katanya kepada mStar Online.

Fatimah ditemui semasa kunjungan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dan Persatuan Seniman Malaysia di kediamannya di Petaling Jaya, di sini pada Selasa.

Turut bersama dalam kunjungan itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob dan Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Sementara itu, pelakon yang dikenali menerusi drama PJ Holding pada era 1980-an ini berkata, dia telah dimasukkan ke hospital lebih tiga bulan dan doktor memaklumkan peluang untuk mampu berjalan seperti biasa agak tipis.

Fatimah Yassin (tengah) menerima kunjungan Datuk Fauzi Ayob (kiri), Zed Zaidi (kanan) dan Datuk Jailani Johari (dua dari kanan).

Malah, dia memerlukan hampir RM5,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan bulanan bagi kos perubatan.

"Saya dimasukkan ke hospital lebih tiga bulan dan kini menjalani rawatan fisioterapi. Rawatan tersebut hanya untuk bantu saya berdiri dan kalau nak berjalan mungkin agak sukar.

"Rawatan awal, saya membelanjakan hampir RM10,000 dan kos rawatan susulan pula mencecah RM5,000 sebulan.

"Semua perbelanjaan perubatan itu saya tanggung sendiri dengan bantuan anak-anak dan saudara-mara," katanya.

Zed Zaidi turut menyerahkan kad keahlian Seniman kepada Fatimah Yassin.

Dalam pada itu, Presiden Seniman, Zed Zaidi, berkata lawatan dan kunjungan persatuan tersebut adalah bagi menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada pelakon drama ini.

"Ini lawatan pertama kami untuk tahun 2018. Alhamdulillah, hari ini kunjungan turut disertai oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Finas.

"Seniman melihat Fatimah memerlukan bantuan dan kerana itu kita melawat dan hulurkan sedikit sumbangan kepada pelakon veteran ini," katanya.

Fatimah memulakan karier seni awal tahun 50-an dan mencipta nama sebagai pelakon dalam drama pentas Ribut yang diadaptasi dari drama Cina berjudul Thunderstorm pada tahun 1960-an.

Dia menceburi bidang lakonan ketika berusia belasan tahun di Singapura.

Fatimah juga pernah menjadi penyampai radio RTM bagi saluran FM Stereo.

Fatimah Yassin, Finas, Seniman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain