PENYANYI Didi Astillah dan pelakon Chacha Maembong masih trauma selepas terlibat dalam kemalangan kereta kira-kira pukul 2 pagi, Isnin. Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 22, berkata Chacha yang memandu keretanya cuba mengelak kereta Proton Wira yang laju sehingga hilang kawalan sebelum terlanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Menurutnya lagi, mereka hanya dibantu oleh orang awam yang berada di situ dan kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki memecut tanpa dapat dikesan. "Sampai sekarang masih lagi trauma. Kejadian itu berlaku ketika kami nak keluar dari simpang Jalan Alor tiba-tiba ada kereta Wira muncul dengan lajunya. Didi kongsi wajahnya yang sedang bengkak selepas kemalangan. "Chacha nak elak tapi tak dapat nak kawal kereta sebab terlalu panik dan terlanggar pembahagi jalan. "Lelaki yang pandu kereta tersebut terus pecut kereta dia tanpa bantu kami. Nasib baik ada ramai orang awam yang ada dekat situ tolong," kata Didi ketika dihubungi mStar Online. Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan malam di Jalan Alor. Didi memuat naik foto wajahnya selepas mengalami kemalangan di laman Instagram dan ia mendapat perhatian pengikutnya. Beginilah keadaan kereta Honda milik Chacha. Tambah Didi lagi, dia hanya mengalami bengkak di muka manakala Chacha mengalami kecederaan di bahagian hidung disebabkan tersembam ke hadapan beg udara. "Muka saya saja yang bengkak manakala Chacha cedera di bahagian hidung. Tapi yang teruknya kereta Chacha saja. Nasib baik kami tidak mengalami kecederaan serius," ujarnya. Dalam pada itu, Chacha ketika dihubungi mStar Online memberitahu keadaannya kini semakin pulih dan hanya memerlukan rehat. "Alhamdulillah, saya okey dan tidak mengalami kecederaan yang teruk. Masa kemalangan itu sahaja darah keluar tidak henti," katanya.