suria

“Sensasi Yang Cari Saya” – Fakhrul Razi

Fakhrul tidak perlu melakukan sesuatu untuk sensasikan dirinya. Foto: SYAZANA ABD SYUKUR.

PENYANYI Fakhrul Razi mengakui tidak pernah terfikir untuk mencipta sensasi hanya untuk menaikkan namanya namun perkara itu yang datang dengan sendiri.

Fakhrul, 38, berkata dia menganggap video yang tular itu merupakan peluang untuk berada dalam industri muzik selain dapat mengeratkan silaturahim antara selebriti luar dan Malaysia.

"Beginilah, saya bukan cari sensasi tetapi sensasi yang mencari saya. Sebab video itu dah setahun yang lalu. Baru sekarang nak tular.

"Bukan saya sengaja nak cipta strategi untuk semata-mata nak naikkan nama saya di Malaysia. Saya selalu percaya yang rezeki tidak pernah tersalah alamat.

"Mungkin itu jalan Tuhan sebab tu saya datang sini. Video itu viral menjadi peluang dan saya anggap ia silaturharim antara orang luar dengan orang Malaysia," kata Fakhrul kepada mStar Online.


Fakhrul anggap video dia tular satu peluang untuknya berada dalam industri muzik Malaysia.

Terdahulu, video dia menyanyikan lagu Bollywood ketika dalam uji bakat program realiti Dil Hail Hindustani, di India menjadi viral di Malaysia.

Tambah komentator program D'Academy Asia Indonesia ini, dia sentiasa melakukan sesuatu perkara yang tidak menurunkan nilainya.

Bagi penyanyi berasal dari Brunei ini, setiap rezeki itu diterima daripada berkat kesabaran dia melakukan sesuatu perkara positif dengan bersungguh tanpa henti.

Fakhrul Razi.

"Saya ada satu ramuan dimana saya hanya akan lakukan sesuatu perkara yang masuk akal dan tidak menurunkan nilai saya.

"Kita buat bersungguh dan jangan pernah berhenti buat benda positif dan akhirnya pasti kita akan diberikan sesuatu yang baik.

"Saya tak pernah terfikir pun ke India untuk menyanyi akan ada impak yang besar sangat. Kalau boleh saya nak sarankan kepada artis-artis jangan fikir nak naikkan nama sahaja.

"Buat saja apa yang awak nak tak kisah dengan cara betul atau salah. Apa-apa ia bergantung pada rezeki juga," ujarnya.

Dalam pada itu, Fakhrul tidak ada niat untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi yang sudah mencipta nama di Malaysia.

Biarpun Fakhrul mengutamakan apa yang pendengar mahukan, namun dia tetap akan mengikut kata hati kerana percaya rezeki itu datang daripada Tuhan.

"Saya tidak bersaing dengan sesiapa. Yang saya inginkan hanya menambahkan pilihan masyarakat. Kalau seorang seniman fikirkan saingan akan terbantut seninya.

"Memang saya akan fikir apa yang pendengar nak tapi harusnya ikut kata hati. Samaada diterima atau tidak. itu jalan Tuhan. Dia yang akan tentu, insya-Allah," katanya.

Fakhrul Razi

Artikel Lain