PETALING JAYA: Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memuat naik foto bersama pengacara popular Awal Ashaari dengan kapsyen ingin menubuhkan kumpulan penyanyi lelaki mendapat perhatian netizen. Khairy yang turut membuat pautan ke akaun Instagram isteri pengacara itu iaitu Scha Alyahya berkata, dia sedang berbincang untuk memberi nama kumpulan itu sebagai Khawal. "Jadi, Scha Alyahya, saya dan suami anda berbincang apa nama kumpulan baharu kami dan kami buat keputusan untuk nama #Khawal," tulisnya pada Isnin. Rata-rata netizen terhibur dan menganggap perkara itu sebagai lucu dan mencuit hati. Segelintir netizen turut menawarkan diri untuk menjadi ahli dan pengurus kumpulan itu. Kapsyen Khairy dapat perhatian netizen. Sementara itu, Awal membalas komen bahawa mereka belum membuat keputusan dalam mencari siapa penyanyi utama kumpulan itu. Bagaimanapun, dia sudah pasti menyerahkan tanggungjawab kepada menteri itu untuk menarik peminat wanita. "Kami belum membuat keputusan siapa yang bakal menjadi penyanyi utama. Saya sudah tentu memberi tanggungjawab kepada anda untuk menarik peminat wanita #Khawal," ujarnya. Foto yang dimuat naik sejam lalu itu kini menerima lebih 20,000 tanda suka dengan 400 komen pengikut laman sosial tersebut. Ia sekadar perbualan gurauan mereka di laman sosial.