suria

Sakit Sejak 10 Hari, Ezzaty Alami Nanah Payudara

Ezzaty kini masih di hospital selepas melakukan pembedahan.

PELAKON Ezzaty Abdullah terpaksa melakukan pembedahan pada Isnin selepas disahkan menghidap penyakit Breast Abscess (nanah payudara).

Suami kepada Ezzaty, Azwan Kombos, ketika dihubungi mStar Online memberitahu isterinya ada mengadu sakit di bahagian dada sepuluh hari lalu dan pernah dibawa mengurut serta jumpa doktor di klinik namun masih tidak ada perubahan.

“Sepuluh hari yang lalu Ezzaty mengadu sakit di bahagian dada. Saya bawa pergi urut, bawa jumpa doktor di klinik biasa macam tak surut pun sakit.

“Apabila bawa jumpa doktor pakar, dia kata kena buat pembedahan. Ada breast abscess, jadi kena buang,” kata Azwan kepada mStar Online.


Ezzaty bersama anaknya yang lahir pada 6 Disember lalu.

Pembedahan dilakukan di Pusat Perubatan Pusrawi, Kuala Lumpur.

Azwan memuat naik foto Ezzaty yang kini berada di hospital di laman Instagram dan ia mendapat perhatian pengikutnya yang mendoakan pelakon wanita itu cepat sembuh.

Tambah Azwan lagi, pada awalnya doktor tidak menyarankan untuk pembedahan namun apabila diperiksa lebih lanjut, tiada pilihan buat Ezzaty dan dia perlu juga melakukannya.

Bagaimanapun, selepas bertarung selama dua jam dalam bilik bedah, Ezzaty kembali sedar namun masih lemah disebabkan kesan ubat yang diberikan untuk tidur.

Azwan dan Ezzaty

Kata Azwan, isterinya masih berada di hospital untuk pemeriksaan doktor dan selepas itu perlu hadir ke hospital setiap hari sepanjang seminggu ini untuk pembersihan luka.

“Alhamdulillah sekarang semua okey cuma dalam masa seminggu, dia hari-hari kena datang hospital untuk bersihkan luka. Sekarang masih di hospital tunggu pemeriksaan susulan doktor,” katanya.

Ezzaty dan Azwan berkahwin pada 16 Julai tahun lalu pada majlis yang diadakan di Bentong, Pahang.

Pasang itu baru sahaja menyambut kelahiran cahaya mata sulung bernama Harum Dalia pada 6 Disember lalu.

Ezzaty Abdullah, Azwan Kombos

Artikel Lain