PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan enggan mengulas panjang tentang laporan yang dibuat oleh rakan baiknya Datuk Farid Kamil, sebaliknya menganggap apa yang berlaku itu sebagai ujian daripada Allah. Mengulas tentang hubungannya dengan pelakon berkenaan, Sofi atau nama sebenarnya, Mohd Soffi Jikan, 48, berkata, biar Tuhan sahaja yang mengetahui perkara itu. "Alhamdulillah selepas tiga hari ditahan saya dibebaskan saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian Allah kepada hambanya yang lemah, tentang laporan (dibuat Farid Kamil) itu saya tidak mahu komen. "Hubungan saya dengan Farid? Biarlah Allah sahaja yang tahu," ujarnya kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN Masukkan Dadah Dalam Minuman Farid, Taj (Innuendo) Diminta Tampil Sofi ditemui selepas dia dibebaskan dengan jaminan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kerana positif ganja pada Jumaat. Sofi sebelum ini ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu lalu dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dalam pada itu, Sofi berkata, dia akan menghabiskan penggambaran filem Polis Evo selepas dibebaskan. Sementara itu ketika menuju ke lif selepas menjawab soalan berkaitan Farid Kamil, Sofi sempat mengeluarkan ayat "lu rembat wa, wa rembat lu" yang tidak pasti ditujukan kepada sesiapa. Peguamnya Datuk Hanif Hassan pula berkata, pelakon itu memberi kerjasama dengan baik kepada pihak polis sepanjang tiga hari dia ditahan. Untuk rekod, Sofi diberkas ketika hadir untuk memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara pada Rabu lalu berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu. Dalam laporan tersebut, Farid didakwa mendedahkan tiga rakan artis yang terlibat meletakkan dadah dalam minumannya. Selain Sofi, artis yang didakwa Farid itu ialah anggota kumpulan Innuendo iaitu Taj dan seorang lagi bernama Firdaus.