suria

Fazura Zahirkan Rasa Kagum Bersuamikan Lelaki Penyabar Seperti Fattah

Fattah Amin dan Fazura mahu fokus kepada bidang lakonan berbanding isu remeh. FOTO: SYAZANA ABD SHUKUR

PELAKON Nur Fazura tidak berasa terkilan apabila dia dan suaminya, Fattah Amin tidak dicalonkan menerusi kategori Couple MeleTOP di Anugerah MeleTOP yang bakal berlangsung pada 8 April depan.

Sebaliknya kata Fazura, 35, dia tidak mahu memfokuskan kepada isu itu kerana merasakan ia perkara remeh temeh.

“Saya tak kisah pun tak dicalonkan dan peminat tidak perlu risau kerana saya okay sahaja dengan perkara itu.

“Isu itu remeh temeh dan lebih baik saya fokus kepada memperbaiki lakonan dan peningkatan kerjaya saya,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem televisyen Janji Zehan di The Gardens pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN “Keluarga Minta Rahsia Majlis Kahwin” - Fattah Amin

Fazura berkata demikian sebagai mengulas isu kekecohan yang dibangkitkan peminat apabila namanya dan Fattah tidak tersenarai pada anugerah tersebut sehingga menimbulkan persoalan mereka.

Mereka yang terlibat dalam filem televisyen Janji Zehan. FOTO: SYAZANA ABD SHUKUR

Menurut pihak Astro, kelayakan untuk dipilih dalam kategori itu dikira bagi pasangan yang berumah tangga sehingga tempoh 14 November 2017.

Bagaimanapun Fattah dan Fazura bernikah pada 27 November 2017 iaitu melepasi syarat sah penyertaan.

Namun mereka layak dicalonkan bagi anugerah itu pada tahun depan.

Fattah Amin Penyabar

Dalam pada itu bercakap mengenai rumah tangganya dengan Fattah, Fazura berkata, mereka masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing memandangkan mereka bercinta selepas berkahwin.

Sepanjang tiga bulan berkahwin kata Fazura, dia kagum dengan sikap penyabar Fattah selain suami dia itu sentiasa menyokongnya.

Fazura bersyukur mendapat suami penyabar seperti Fattah.

“Dia bukan seorang yang suka menekan saya dan untuk itu saya sangat menyenanginya.

“Kami berkahwin pun selepas enam bulan bercinta dan secara dasarnya kami bercinta selepas berkahwin dan Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik.

“Saya juga mendapati Fattah sangat penyabar orangnya walaupun banyak perkara yang terjadi tetapi dia masih boleh memaafkan,” ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai Janji Zehan, Fazura berkata, ia mengangkat kisah pasangan baru berkahwin dengan latar belakang dan budaya berbeza.

Katanya, ia pengalaman baru buatnya kerana ia menampilkan jalan cerita berlainan selain ia menjalani penggambaran di Iran.

“Projek ini memang seronok dan saya tak fikir panjang untuk lakukannya apabila ditawarkan oleh pengarahnya Bernard Chauly.

“Jalan ceritanya juga berbeza tambahan ia menampilkan dua budaya dalam sebuah cerita,” katanya.

Selain Fazura ia turut terlibat ialah pelakon dari Iran iaitu Amir Rezazadeh yang menjalani penggambaran sepenuhnya di negara itu.

Ia bakal disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) bermula 14 Februari ini.

Fazura, Fattah Amin

Artikel Lain