suria

“Azmil Orang Pertama Ketuk Pintu Rumah Saya” - Ogy

Azmil individu menyenangkan dan sudah dianggap sebagai seorang abang oleh Ogy.

HEROIN filem Ali Setan iaitu Fauziah Ahmad Daud menyifatkan Allahyarham Azmil Mustapha sebagai individu yang menyenangkan dan tidak pernah bercerita buruk mengenai orang lain.

Fauziah atau lebih mesra dipanggil sebagai Ogy berkata, Azmil sudah dianggap sebagai seorang abang dan menyokong dia ketika Ogy di awal penghijrahan dahulu.

"Dia sudah macam abang saya. Sepanjang saya mengenalinya, dia tak pernah menyusahkan orang dan tak letak dirinya sebagai orang hebat.

"Semasa awal penghijrahan saya dahulu, dia orang pertama yang ketuk pintu rumah saya dan menyokong apa yang saya lakukan (bertudung). Walaupun saya masih aktif dengan industri seni, dia tak pernah memberi kecaman atau bercakap buruk di belakang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon ‘Ali Setan’ Azmil Mustapha Meninggal Dunia

Ogy dan Azmil bergandingan dalam filem Ali Setan.

"Sebaliknya, dia buat saya lebih faham mengenai agama dan banyak mengajar saya mengenai keindahan Islam. Dia sanggup hidup bersusah tanpa duit dan harta kerana mencari keredaan Allah," katanya kepada mStar Online.

Ogy dan Azmil pernah bergandingan sama dalam beberapa filem antaranya Ali Setan, Suara Kekasih, Gadis Hitam Putih dan Dewi Cinta.

Bagaimanapun filem Ali Setan  (1985) arahan Tan Sri Jins Shamsuddin yang menggandingkan mereka berdua mengisahkan kehidupan pelajar universiti mencatatkan kutipan boxoffice.

Sementara itu, Ogy berkata dia terkejut dan seakan-akan tidak percaya apabila dimaklumkan oleh adiknya mengenai kematian Azmil.

"Apabila dapat berita daripada adik saya, jantung saya rasa macam nak luruh, tak percaya Azmil sudah tiada.

Azmil (kiri) sentiasa menyokong rakan artis yang ingin berhijrah mendekati agama Islam.

"Selepas ini saya pasti akan merindui gelak tawa dia. Sekarang ini sudah tiada lagi orang yang akan memanggil saya dengan nama Asmidar.

"Kali terakhir kami bertemu tahun lalu di kediaman saya dan ada berhubung melalui telefon pada bulan lalu," ujarnya yang turut memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Azmil Mustapha, 64, meninggal dunia sekitar pukul 12.40 tengah hari di kediamannya di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Petikan dari filem Mekanik.

Jenazah dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alam untuk urusan serta solat jenazah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor selepas waktu Asar.

Allahyarham pernah berkahwin sebanyak dua kali dan memiliki lima orang anak hasil perkahwinan itu berusia antara 15 tahun dan 32 tahun.

Dia juga mempunyai tiga orang cucu berusia antara dua dan lima tahun.

Filem-filem lain lakonan Allahyarham ialah Mekanik (1983) Driving School (1990), Kepala Angin (1987), Ceritera (2001) dan Puteri Gunung Ledang (2004).

Ogy Ahmad Daud, Azmil Mustapha

Artikel Sebelum

Artikel Lain