suria

Tidak Mampu Sediakan Wang Puncanya? Netizen Berdebat Kemelut Sufian, Elfira

Perpisahan pasangan Elfira Loy dan Sufian Suhaimi terus jadi tanda tanya peminat.

KETIKA penyanyi Sufian Suhaimi dan pelakon Elfira Loy mengunci mulut mengenai punca terlerainya ikatan pertunangan mereka, netizen mula membuat andaian dan spekulasi terjadinya peristiwa itu.

Seorang pemilik Instagram menggunakan nama @rayzman123 mendakwa isu kewangan dan kegagalan Sufian menyediakan wang hantaran seperti diminta keluarga Elfira bagi perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada Mac ini dikatakan sebagai puncanya.

Dia mendakwa kononnya mendapat maklumat tersebut selepas ia didedahkan oleh seorang rakannya dipercayai kenalan keluarga Elfira.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tidak Pernah Menyesal Mengenalimu Sayang” - Status Sufian Bikin Mata Berhabuk

@rayazman123 meninggalkan dakwaan tersebut di ruangan komen Instagram milik mStar Online pada Rabu lalu sebagai respons kepada artikel “Tidak Pernah Menyesal Mengenalimu Sayang” - Status Sufian Bikin Mata Berhabuk selepas beberapa pengikut lain bertanya punca sebenar perpisahan pasangan itu.

Komen netizen di Instagram mStar Online yang menimbulkan tanda tanya.

"Dah dah lah... move on je lah. Dah mak El tak nak, nak buat macam mana.

"Mak El tak nak bermenantukan orang tidak berduit. Takut anak dia susah nanti walaupun Sufian ada ijazah sarjana. Sufian tak boleh sediakan wang hantaran yang diminta mak El bulan tiga ni.

"Benda tu rahsia antara keluarga tapi dekat facebook ada kawan kepada ahli keluarga El pecah lubang. Berapa hantaran tu, rahsia keluarga katanya. Lagipun Sufian tengah belajar, manalah mampu kalau hantaran banyak-banyak," tulisnya.

Bagaimanapun netizen mempersoalkan kesahihan informasi yang diberikannya dan ramai meminta agar semua pihak tidak mendengar tuduhan dilemparkan terhadap pasangan itu.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober tahun lalu.

Usaha mStar Online bagi mendapatkan maklum balas Sufian dan Elfira mengenai tuduhan tersebut bagaimanapun tidak berhasil apabila mereka tidak menjawab panggilan yang dibuat.

Dalam pada itu Sufian kepada portal Utusan Online pada Rabu meminta agar netizen tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak sahih mengenai episod kehancuran hubungan mereka itu.

"Saya nak pesan sedikit kepada semua orang (netizen), hentikan segala spekulasi. Ini bukan perkara yang mudah untuk kami semua hadapi. Biarlah hanya kami berdua dan keluarga sahaja yang tahu," katanya seperti dilaporkan portal itu.

Pada Sabtu lalu, ibu kepada Elfira iaitu Filzah Yusoff, 52, mengesahkan ikatan pertunangan di antara anak perempuannya dengan Sufian sudah berakhir dan pihak perempuan sudah memulangkan cincin pertunangan di rumah keluarga Sufian di Muar, Johor pada Ahad lalu.

Pertemuan antara keluarga kedua-dua pihak dilaporkan berlangsung dengan baik dan pihak keluarga enggan memanjangkan hal berkenaan.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober 2017 dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Mac ini.

Elfira Loy, Sufian Suhaimi

Artikel Lain