suria

Balas Teguran Amyza: “Artis Jual Kosmetik Saya Tak Tercabar Pun”

Aliff Syukri bergandingan dengan Fasha Sandha dalam filem pertama lakonannya iaitu 'Badang'.

JUTAWAN kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri membidas kenyataan pelakon Amyza Aznan yang mendakwa dia mengganggu periuk nasi pelakon profesional hanya kerana dia menjadi hero filem Badang.

Aliff atau Aliff Syukri Kamarzaman, 31, berkata dia tidak pernah berasa tercabar apabila ada golongan artis menjadi usahawan kosmetik yang turut diusahakannya.

"Saya tidak pernah pula mengeluarkan kenyataan apabila ada artis menceburi bidang kosmetik. Saya seorang yang profesional dan boleh bekerjasama dengan ramai selebriti antaranya Rozita Che Wan, Wak Doyok dan Fasha Sandha dalam bidang yang sama.

"Tidak pernah pula saya merasakan mereka mengganggu periuk nasi saya! Saya percaya rezeki Allah itu luas," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Amyza Tegur Aliff Syukri: “Tiada Bakat, Jangan Kacau Bisnes Kami”

Amyza Aznan melahirkan rasa kurang senang apabila Aliff Syukri menceburi bidang lakonan, cukuplah dia menjadi usahawan koemstik.

Aliff ditemui mStar Online di pejabatnya di Kota Damansara di sini pada Jumaat.

Usahawan itu diminta mengulas kenyataan Amyza dalam satu ruangan komen di Facebook pengarah Shahrulezad Mohameddin agar Aliff Syukri  tidak menggunakan bidang seni sebagai platform untuk memperluaskan empayar perniagaan kosmetiknya.

Amyza berkata, usahawan berkenaan tidak layak bergelar pelakon atau penyanyi kerana tidak mempunyai bakat seni tersebut.

Dalam pada itu Aliff mengambil contoh, seseorang artis boleh membuat tuduhan dia mengganggu periuk nasi mereka seandainya dia membayar pihak produksi agar menggugurkan nama mereka untuk memberi laluan kepadanya berlakon.

"Hakikatnya tidak begitu, mereka (pihak produksi) datang menawarkan saya watak utama biarpun saya sudah menjelaskan saya tidak mahir berlakon tambahan lagi untuk membawa watak seorang hero.

Aliff Syukri pula berkata, dia tidak kisah apabila artis menjadi usahawan kosmetik.

"Namun begitu lakonan saya dalam satu episod drama Misteri Jenazah ia mendapat 'rating' tertinggi dalam keseluruhan drama tersebut. Ini membuktikan saya mempunyai bakat,” katanya.

Tambah Aliff, jika ada artis yang memanggil dia sampah dan mahu menutup periuk nasi mereka, dia enggan membalas komen berkenaan.

Namun dia percaya jika seseorang itu berlakon puluhan tahun sekali pun tetapi tidak diterima masyarakat, ia bukan rezeki mereka.

Badang arahan Profesor Datuk Dr A Razak Mohaideen itu turut menampilkan Fasha Sandha, Fauzi Nawawi, Azhari Zain, Aminah Rhapor dan Fareez Fauzi.

Ia ditayangkan di pawagam tempatan sejak 15 Februari lalu.

Aliff Syukri, Amyza Aznan

Artikel Sebelum

Artikel Lain