suria

Anak Simpan Rasa Marah Terhadap Azmil Namun Ia Berubah Setahun Lalu

Syamira bersama anak-anak dan Allahyarham Azmil.

PETALING JAYA: Anak kepada Allahyarham Azmil Mustapha iaitu Syamira memberitahu pemergian bapanya benar-benar memberi kesan mendalam kepada dirinya.

Syamira, 32, berkata, dia bersyukur diberi peluang untuk berbaik-baik dengan bapannya itu sejak setahun lalu.

Dia menjelaskan hubungannya dengan pelakon filem Ali Setan itu renggang selepas ibu dan bapanya bercerai ketika dia baharu berusia empat tahun.

"Tahu tak kenapa pemergian arwah Babah memberi kesan yang amat dalam kepada saya?.

"Sebab seumur hidup saya tak pernah rapat dengan Babah. Ibu dan Babah bercerai semasa umur saya 4 tahun dan apabila kedua-dua mereka berkahwin lain, saya lebih rapat dengan Papa (bapa tiri) selama saya membesar," luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon ‘Ali Setan’ Azmil Mustapha Meninggal Dunia

Syamira

Pelakon yang popular tahun 1980-an itu meninggal dunia kira-kira pukul  12.40 tengah hari pada 14 Februari lalu.

Allahyarham meninggal dunia di rumahnya di Seksyen 9, Shah Alam dekat sini pada usia 65 tahun akibat sakit jantung.

Sementara itu, Syamira dalam Fecebooknya berkata, dia pernah berasa marah dan tidak bersetuju cara arwah bapanya.

"Lama juga saya marahkan Babah. Banyak juga saya tak setuju dengan cara Babah. Tapi Babah tak pernah lupa, saya tetap anaknya yang pertama," ujarnya.

Bagaimanapun, Syamira berkata, dia dapat memulihkan hubungan dengan arwah dan mengenali bapanya itu dengan lebih rapat.

Tempoh itu juga dia melupakan kisah lampau dan memberi sepenuh kasih sayang kepada seorang yang bergelar bapa.

"Setahun... satu tahun Allah bagi peluang pada saya untuk berbaik dengan Babah, untuk lebih mengenali Babah, untuk lebih memahami Babah. Bersyukurnya saya.

"Walaupun sekejap, teramat sekejap, tapi cukup untuk saya lupakan kisah lampau dan mengisi hati ini dengan sepenuh kasih sayang buat insan yang sebelum ini saya mengaku ayah sebab binti dalam nama saya sahaja," ujarnya.

Allahyarham pernah berkahwin sebanyak dua kali dan memiliki lima orang anak hasil perkahwinan itu berusia antara 15 tahun dan 32 tahun.

Dia juga mempunyai tiga orang cucu berusia antara dua dan lima tahun.

Syamira Azmil Mustapha

Artikel Sebelum

Artikel Lain