PELAKON Elfira Loy tampil menjelaskan tuduhan segelintir netizen mengenai hubungannya dengan seorang lelaki bernama Asyraff Mazlan. Elfira, 24, berkata dia sudah mengenali lelaki tersebut sebelum memakai tudung dan ketika menjalani penggambaran drama Kayuhan Cinta pada 2015. Tambah Elfira, dia dan Asyraff hanya berada di dalam kumpulan yang sama untuk mengerjakan umrah pada Februari lalu dan bukan pergi bersama seperti yang didakwa netizen. "Kalau nak kata saya yang beri ruang untuk orang buat fitnah, dalam kapsyen terang-terang dah tulis makan sempena kelahiran Acap (Asyraf). "El dah kenal Acap lama lagi dah dari zaman tak bertudung masa penggambaran drama Kayuhan Cinta sampailah sekarang. "Dan trip ke Makkah kami dalam satu kumpulan yang sama. Bukan pergi bersama. Saya dah jelaskan. "Tapi lepas ini kalau korang nak cakap bukan-bukan, korang yang menfitnah. Bukan El yang menimbulkan fitnah," tulis Elfira menerusi Instastorynya. ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan Ke Makkah Bersama, Usahawan Ini Mula Dikaitkan Dengan Elfira ARTIKEL BERKAITAN: “Jatuh Jugalah Air Mata Jantan Saya” - Sufian Suhaimi Elfira menjelaskan hubungannya dengan Asyraf. Elfira turut memuat naik foto ketika dia dan adiknya iaitu Nurul Ezlisa Loy meraikan ulang tahun kelahiran Asyraff di sebuah restoran baru-baru ini bagi menjelaskan perkara sebenar. Selain itu, Elfira juga ada memuat naik paparan skrin komen beberapa orang netizen yang mengatakan dia dan ibunya, Filzah Yusoff, adalah mata duitan. Kata Elfira, dia mempertikaikan tindakan netizen itu yang sanggup berkata sebegitu terhadapnya. Malah, dia meluahkan rasa marah dan naik bosan dengan sikap manusia yang hanya bercakap buruk tentang orang lain. "Saya tak nak timbulkan atau bercakap tentang perkara itu lagi. Tapi macam mana anda sanggup cakap seperti itu? Kenapa mesti juga nak cakap buruk fasal orang, kenapa, kenapa? "Fed up dengan manusia yang macam ini. Tak boleh ke kita ambil saja sesuatu perkara itu sebagai iktibar dan biarkan. Kenapa nak hidupkan bara. Elfira berang dengan sikap manusia yang suka bercakap buruk tentang orang lain. "Kali ini saya betul-betul marah sebab suka-suka hati buat andaian yang terang-terang tak ada ruang yang menimbulkan fitnah," katanya. Menerusi laporan mStar Online pada Selasa, netizen membuat andaian bahawa Asyraff yang juga seorang usahawan muda ialah kekasih baharu pelakon drama Separuh Jiwaku itu. Sebelum ini, timbul pelbagai dakwaan dan spekulasi punca terlerainya ikatan pertunangan Elfira dan Sufian Suhaimi. Bagaimanapun, Elfira dan Sufian meminta semua pihak tidak membuat sebarang andaian dan memaklumkan hanya keluarga sahaja yang mengetahui punca mereka menamatkan pertunangan. Pada 18 Februari lalu, pihak keluarga Elfira mengesahkan sudah bertemu dengan keluarga Sufian untuk memulangkan cincin pertunangan mereka.Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober tahun lalu dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Mac ini.