suria

“Saya Tak Dera Anak, Saya Ajar Mengaji” - Suami Ziana Zain Didakwa

Ziana Zain dan keluarga. Foto Instagram: Ziana Zain

SHAH ALAM: Hanya kerana pukul anak untuk mengajar mengaji, suami kepada penyanyi Ziana Zain menanggung akibatnya apabila dia dihadapkan ke mahkamah atas perbuatannya itu.

Armin atau nama sebenarnya Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, dihadapkan ke mahkamah majistret Shah Alam pada Selasa atas tuduhan dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, jam 4 pagi pada 25 Februari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ia Terlalu Peribadi Untuk Diulas” - Ziana Zain

Jika sabit kesalahan, bekas Pramugara Kanan Malaysia Airlines itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Armin bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas ia dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Armin memberi alasan perbuatannya itu adalah bertujuan mengajar anaknya melakukan solat dan mengaji al-Quran.

Armin

Tindakannya itu atas dasar tanggungjawabnya sebagai seorang bapa kepada anak-anaknya.

"Saya ajar anak solat dan mengaji, tetapi dia tak faham. Saya tak dera anak! Saya mohon jaminan rendah dibenarkan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi bagaimanapun mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap Armin.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 4 April depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana Zain membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.

Ziana Zain atau nama sebenarnya, Siti Roziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Putus Terpaksa  bernikah dengan Armin pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Amrin, Ziana Zain

Artikel Berikut

Artikel Lain