suria

“Ia Terlalu Peribadi Untuk Diulas” - Ziana Zain

Ziana enggan komen lebih lanjut mengenai suaminya. Foto: LOW BOON TAT.

PENYANYI Ziana Zain berharap semua peminat mendoakan yang terbaik terhdap dia dan keluarga atas kejadian yang berlaku dalam rumah tangganya.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 50, berkata dia tidak dapat mengulas lebih lanjut hal berkenaan kerana perkara ituy terlalu peribadi selain ia sudah menjadi kes mahkamah.

"Saya tak boleh komen lanjut sebab kes mahkamah. Ini terlalu peribadi.

"Doakan yang terbaik," kata Ziana Zain secara ringkas kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Tak Dera Anak, Saya Ajar Mengaji” - Suami Ziana Zain Didakwa

Foto yang dimuat naik Ziana beberapa jam selepas berita suaminya didakwa mendapat perhatian pengikutnya.

Ziana diminta mengulas mengenai suaminya, Armin atau nama sebenarnya Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, didakwa atas tuduhan memukul anak untuk mengajar mengaji.

Armin dihadapkan ke mahkamah majstret Shah Alam pada Selasa atas tuduhan dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, jam 4 pagi pada 25 Februari lalu.

Armin bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas ia dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan mahkamah menetapkan 4 April untuk sebutan semula kes tersebut.

Pemuda itu memberi alasan perbuatannya itu adalah bertujuan mengajar anaknya melakukan solat dan mengaji al-Quran.

Ziana, suami dan anak-anak.

Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana Zain membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.

Dalam pada itu, ruangan komen menerusi foto Ziana Zain di Instagramnya dipenuhi dengan kata-kata sokongan daripada pengikutnya.

Mereka mendoakan agar penyanyi yang popular dengan lagu Madah Berhelah itu kuat mengharungi dugaan.

"Allah menduga hambanya setakat kemampuannya. Banyak-banyak bersabar. Semoga suami isteri diberi hidayah. Anak oh anak.

Armin.

"Apa pun yang terjadi dalam keluarga akak, kami mendoakan yang baik-baik pertama kali macam ini jadi. Akak dan suami yang lebih mengetahui orang luar janganlah tambahkan lagi cerita.

"Teruskan kuat kak Ziana... Kami sentiasa akan menyokong awak," antara komen beberapa orang pengikut di laman sosialnya.

Selain kata-kata nasihat, terdapat juga andaian netizen tentang kewajaran Armin mengajar anak mengaji pada pukul 4 pagi selain berkemungkinan pasangan berkenaan menghadapi masalah rumah tangga kerana laporan polis itu dibuat oleh Ziana sendiri.

Ziana dan Armin bernikah pada 9 Mei 1998 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Perkahwinan mereka mencatat sejarah tersendiri kerana ia diadakan secara terbuka dengan kehadiran ribuan peminat yang ingin menyaksikan detik istimewa itu.

Ziana Zain

Artikel Lain