PENYANYI rap Caprice kesal dengan kenyataan dibuat oleh kumpulan nasyid UNIC dengan mendakwa dia enggan bekerjasama mempromosikan lagu duet mereka berjudul Sedar sejak ia dilancarkan akhir tahun lalu. Caprice, 30, menerusi Instagram miliknya turut mempersoalkan tuduhan UNIC kononnya dia tidak membalas mesej yang dihantar selepas membacanya. Dedah Caprice lagi, mereka sebenarnya baharu sahaja muncul di sebuah stesen radio pada minggu lalu bagi mempromosikan lagu tersebut dan menganggap tuduhan dibuat terhadapnya sebagai penipuan. “Seminggu yang lalu saya di Hot FM bersama mereka dan tiba-tiba mereka muncul dalam temubual di televisyen minggu berikutnya mendakwa saya membaca mesej yang dihantar tetapi tidak membalas. ARTIKEL BERKAITAN: UNIC Buat Pembaharuan Tarik Peminat Baru “Anda buat andaian saya baca tetapi tidak balas mesej anda? Itu penipuan dan cara paling murah untuk mempromosikan lagu anda," katanya. Caprice (dari kiri), Fakhrul, Bazli dan Wan Najdi terlibat melakukan kolaborasi menerusi lagu Sedar. Salah seorang anggota UNIC, Fakhrul mendakwa Caprice hanya sempat menjayakan promosi lagu itu beberapa kali namun sejak kebelakangan ini dia mendiamkan diri. Malah dakwanya, sejak 22 Februari lalu semua mesej yang dihantar kepada pemuda itu tidak dibalas walaupun yakin ia sudah dibaca kerana mempunyai tanda biru yang membawa maksud mesej itu sudah dibaca. Selain Fakhrul, UNIC turut dianggotai oleh Wan Najdi dan Bazli. Dalam pada itu, Caprice turut mempersoalkan dakwaan UNIC yang mendapat tanda biru pada mesej yang dihantar kerana dia belum sempat membaca mesej dimaksudkan. Malah kata Caprice, bukan mesej daripada UNIC sahaja yang tidak dibaca sebaliknya dia mempunyai 999 mesej lain yang belum dibuka. Paparan skrin ini bagi membuktikan Caprice tidak sempat membuka mesej dihantar oleh Fakhrul. “Tiada tanda biru. Saya kecewa kerana perkara ini boleh selesai dengan hanya satu panggilan tetapi anda pilih cara dramatik untuk buat kenyataan. “Bagaimana anda mendapat tanda biru apabila saya tidak buka pun mesej berkenaan? Saya mempunyai 999 mesej yang masih belum dibuka. “Maafkan saya. Saya minta maaf kepada 999 individu lain jika saya lambat atau tidak membalas mesej berhubung persembahan pentas atau pun temu bual,” tulisnya. Sementara itu, Caprice berkata, dia cuba puaskan hati semua pihak namun dia sendiri mempunyai banyak komitmen lain yang perlu diberi perhatian termasuk pembangunan empat aplikasi keagamaan yang sedang dilakukannya. Jelas Caprice lagi, kesibukannya itu turut menyebabkan single lagunya berjudul Abang Gurau Je terpaksa ditangguhkan pelancarannya. Caprice menunjukkan paparan skrin yang kelihatan simbol WhatsApp dengan angka 999 sebagai bukti mesej sebanyak itu masih belum dibacanya. “Jika anda tidak tahu, saya sibuk dengan pembangunan empat aplikasi iaitu mengaji.com, RajinApp, Umrakloka dan sistem untuk masjid. Saya sampai tiada masa untuk diri sendiri. “Pada masa yang sama saya sedang dalam program jelajah untuk Jihad in Education di Kedah, Penang, Melaka dalam masa empat minggu. “Saya cuba yang terbaik untuk puaskan hati semua pihak tetapi saya bukannya robot,” katanya. Caprice turut memuat naik gambar bukti paparan skrin dia mempunyai 999 mesej termasuk mesej daripada Fakhrul yang belum dibaca.