PENGACARA Hefny Sahad berharap tidak ada mana-mana pihak yang membuat spekulasi mengenai hubungannya dengan Uqasha Senrose. Hefny, 31, berkata hubungan dia dan pelakon wanita itu masih seperti biasa namun enggan bercerita lebih lanjut mengenai perkara itu. Malah, pengacara Muzik-Muzik 32 itu lebih selesa berkongsi tentang kariernya berbanding kisah peribadi. "Saya harap tidak ada mana-mana pihak buat spekulasi mengenai saya dan dia sebab hubungan kami macam biasa. "Seperti yang saya katakan sebelum ini, tahun 2018 saya nak lebih banyak cerita tentang karier. Kisah peribadi saya tak nak komen," kata Hefny kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: Uqasha Senrose, Hefny Bakal Bertunang Hubungan Hefny dan Uqasha masih baik. Kata Hefny, dia akui terlalu banyak liputan mengenai kisah cintanya sehingga menjadi tumpuan umum. Hefny enggan dilihat sekadar ingin menumpang populariti pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu. "Saya perhatikan, liputan mengenai kisah cinta kami terlalu banyak dan tumpuan umum hanya terarah ke situ."Saya tak mahu orang bercakap saya tumpang populariti Uqasha pula," ujarnya. Menerusi laporan mStar Online pada 4 November tahun lalu, Uqasha berkongsi berita gembira bakal bertunang dengan Hefny. Barisan pengacara program Borak Kopitiam. Namun pasangan itu dilihat tidak lagi memuat naik foto bersama di laman sosial. Dalam pada itu, Henfy bakal mengendalikan program Borak Kopitiam bersama Dayah Bakar, Sarah Adiba, Feona Cheong, Zack Merican dan Fify Azmi selain penyampai radio, Haziq dari Hot FM serta Muaz (Kool FM). Hefny turut meluahkan rasa teruja dapat mengacara program yang memerlukannya mengikuti perkembangan isu semasa untuk disampaikan secara santai. "Saya ada membuat kajian terperinci biarpun dibekalkan skrip sebelum memasuki set supaya apa yang kita nak sampaikan kepada penonton faham. "Memang saya teruja sebab ini kali pertama saya dapat program pagi," katanya. Program dua jam itu akan disiarkan secara langsung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, dari Studio C, Sri Pentas, mulai pukul 7 pagi.