suria

Jelajah Suria Bakal Jadi Acara Tahunan

Jelajah Suria bakal menemui peminat di Taiping, Perak pada 10 Mac.

PETALING JAYA: Penganjuran program Jelajah Suria bagi menyambut ulang tahun ke-10 stesen radio Suria bakal dijadikan sebagai acara tahunan untuk menghargai pendengar stesen radio itu.

Pengurus Kandungan Program Suria, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda terima kasih pihak Suria di seluruh Malaysia atas sokongan tanpa henti pendengar.

"Untuk permulaan Jelajah Suria pada tahun 2018 ini, barisan penyanyi berbakat seperti Liza Hanim, Tajul, Projector Band, Bagio Damansutra, Shaa dan Qalam Band bakal membuat persembahan pada jelajah yang akan diadakan pada Sabtu ini (esok) bertempat di Taiping Sentral Mall, Perak.

Sebahagian daripada barisan penyampai Suria iaitu Sharifah Shahira (dari kiri), Fizi Ali dan Zulin Aziz.

"Malah, barisan penyampai radio Suria seperti Sharifah Shahirah, Fizi Ali, Zulin Aziz, Bob Ringgo, Tyzo, Suraya dan Halim Othman dan saya sendiri akan hadir memeriahkan Jelajah Suria ini," katanya.

Suria yang memperkenalkan tagline 'Segalanya Hiburan' turut tampil dengan beberapa siri yang diterbitkan seperti Jangan Tutup Lampu, Suria Jam, Apa Itu Cinta, Sensasi Suria dan yang terbaru siri travelogue Kembara Lagu Untuk Laila.

Dalam pada itu, DJ Lin berkata, selain daripada dapat bertemu empat mata bersama artis dan penyampai Suria kegemaran, peminat juga berpeluang menyertai pelbagai permainan pentas yang disediakan dan memenangi wang tunai, barangan eksklusif Suria serta hadiah misteri!

“Alhamdulillah, melalui Jelajah Suria, jenama Suria semakin dikenali bukan sahaja melalui radio, malah melalui portal hiburan kami di suria.my yang menawarkan pengisian digital yang terbaru lagi menarik.” tambah DJ Lin.

Kepada orang ramai yang tidak dapat hadir ke Jelajah Suria ini, mereka juga boleh menonton klip persembahan melalui laman sesawang www.suria.my dan Facebook @SuriaMalaysia.

Jelajah Suria, Suria

Artikel Lain