suria

Alif Muhaimin Tak Mahu Lagi Tayang Badan Di Laman Sosial

Alif tidak mahu lagi memuat naik foto tanpa berbaju di laman sosial.

JUARA Hero Remaja 2017, Alif Muhaimin berkata dia tidak mahu lagi mendedahkan tubuh badannya di laman sosial.

Menurut Alif, 24, dia menerima nasihat beberapa artis senior yang berasakan tidak wajar untuknya memuat naik foto tubuh di Instagram kerana perlu menjaga nilai eksklusif sebagai seorang selebriti.

"Ada artis senior yang nasihat supaya saya tak tayang badan di laman sosial kerana ia akan menimbulkan perspektif kurang baik orang yang melihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Alif Muhaimin Diajak Lakukan Seks

Alif Muhaimin. Foto: SYAZANA ABD SHUKUR

"Lebih-lebih lagi sebagai pendatang baharu, isu tunjuk badan dan dedah aurat ini boleh buatkan orang fikir negatif fasal kita.

"Lagipun, ia akan menghilangkan nilai eksklusif kerana orang boleh tengok badan saya dengan mudah di laman sosial. Cari sahaja di laman google dah boleh jumpa," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, pelakon drama Tak Ada Cinta Sepertimu ini berkata dia tiada masalah jika hanya memakai singlet (baju tanpa lengan) untuk sesi fotografi atau lakonan.

Alif tidak kisah jika hanya perlu memakai baju tanpa lengan.

Bagaimanapun, jika dia dikehendaki membuka baju, dia akan mempertimbangkan mengikut kesesuaian watak dan babak.

"Kalau untuk sesi fotografi atau penggambaran, kena pakai singlet saya okay lagi dan tak ada masalah tentang hal itu.

"Namun, jika saya perlu membuka baju, saya kena tengok babak itu dahulu. Kalau babak aksi dan ada kecederaan sehingga baju terkoyak atau luka di badan, itu baru sesuai," katanya.

Alif takut peminat kurang senang melihat dia kerap menayang badan di laman sosial.

Dalam pada itu, Alif memberitahu sebagai pendatang baharu, sebolehnya dia mahu menjaga hubungan baik dengan peminat.

Malah, dia perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai pandangan dan pendapat berhubung isu ini.

"Saya ni pelakon baru, jadi kena jaga nama untuk pergi jauh. Saya mahu jaga hubungan dengan peminat dan tak mahu isu dedah tubuh atau tayang aurat membuatkan mereka jadi kurang senang.

"Hal begini nampak remeh tapi perlu diambil kira dan saya kena jaga. Iyelah, masing-masing ada cara tersendiri dan saya memilih cara begini," katanya.

Alif Muhaimin, Hero Remaja

Artikel Lain