suria

"Jodoh Kahwin Dua Atau Tiga Memang Sudah Tertulis Sejak Azali" - Elyana

Elyana berpendapat soal jodoh merupakan ketentuan takdir. Foto Instagram @elyanaofficial

PENYANYI Elyana berpendapat soal jodoh merupakan sebahagian ketentuan dan takdir daripada Allah SWT yang tidak diketahui oleh mana-mana manusia.

Menurut Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 30, hal berkaitan jodoh sudah tertulis dalam hidup setiap manusia dan tiada siapa yang mampu menolaknya.

"Soal isu kahwin dua atau tiga ini memang dah tertulis. Sejak azali tentang pertemuan, rezeki semua ditangan tuhan. Kita manusia biasa tak boleh nak menidakkan jodoh walaupun mungkin kadang-kadang individu itu ada kesalahan.

"Kita nak marah, marahlah! tapi kita tak tahu situasi orang. Kita doakan yang baik-baik saja sebab kita pun tak tahu nasib kita," katanya menerusi siaran langsung di laman Instagram.

Tanpa menyebut nama mana-mana individu, Elyana menjawab persoalan seorang pengikut yang meninggalkan komen bertanyakan mengenai istilah 'menumpang kasih'.

Elyana berkata demikian menerusi siaran langsung di laman Instagram pada Sabtu.

Sementara itu, penyanyi lagu Kalis Rindu ini berharap netizen mengawal emosi dan tidak memboikot individu yang terbabit dengan isu poligami itu.

"Kalau ikutkan isu begini memang rasa sakit hati dan nak marah tapi rasanya tak perlu sampai nak boikot begitu.

"Kalau kita bertindak kejam macam tu, kita pun tak ada beza dengan yang lain. Apa yang penting kita doa yang baik dan Insya-Allah hidup kita aman dan harmoni," ujarnya.

Menyebut mengenai poligami pada Disember tahun lalu, dunia hiburan panas apabila pelakon Izreen Azminda mengumumkan perkahwinannya dengan ahli muzik iaitu Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude yang merupakan suami orang.

Dalam laporan sebuah portal berita, pelakon drama Bukan Wanita Sempurna ini hanya ingin menumpang kasih dan tidak pernah sesekali berhasrat merampas serta meruntuhkan kebahagiaan isteri pertama.

Elyana

Artikel Lain